Adakah Kematian Itu Akan Menggugurkan Zakat?

Gambar Hiasan
Soalan: Jika berlaku kematian dalam keluarga, misalnya ayah, bagaimanakah keadaan zakatnya? Apakah para warisnya wajib mengeluarkan zakatnya? Bagaimana dengan waris yang menerima pusaka, wajib jugakah mereka mengeluarkan zakatnya?
JAWAPAN:

Hakikatnya, apabila telah cukup segala syarat wajib zakat ke atas seseorang, maka wajiblah zakat dikeluarkan olehnya. Dalam kes di atas, jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan segala syarat-syarat wajib zakat sudah dipenuhi, maka hendaklah dikeluarkan zakat oleh warisnya. Ini kerana, dia dikira terhutang kepada Allah SWT.

Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya, ‘Ensiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2’, zakat itu tidak menjadi gugur hanya disebabkan kematiannya. Kekayaan yang ditinggalkannya masih wajib dikeluarkan zakat, walaupun si mati tidak meninggalkan wasiat agar warisnya mengeluarkan zakatnya.

Pendapat itu disokong oleh para fuqaha misalnya pada sisi mazhab Hanafi oleh ‘Atha’, al-Hassan, al-Zuhri, Qatadah, Malik, Syafie, Ishaq, Abu Tsaur dan al-Mundzir.

Dalam hal ini juga, al-Awzai dan al-Laits menyatakan:

“Zakat mesti diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan didahulukan daripada wasiat-wasiatnya.”

Bagaimanapun ada juga fuqaha yang memberikan keringanan bahawa zakat tidak wajib dikeluarkan daripada harta orang yang mati jika tidak diberikan wasiat mengenainya dan pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Sirin, al-Sya’bi, an-Nakhaie, Hammad Ibn Sulaiman dan at-Tsauri.

Mazhab Hanafi pula mengatakan:

“Zakat tidak boleh dikeluarkan daripada harta yang ditinggalkan oleh seseorang kecuali apabila dia memberikan wasiat untuk itu dan wasiat tersebut diambil satu pertiga daripada harta yang ditinggalkannya dan kemudian dibahagikan oleh para penerima wasiat, maka gugurlah kewajipan untuk mengeluarkan zakat kerana ia merupakan ibadat yang memerlukan niat sebagai antara syaratnya. (Jika orang yang meninggal tidak berwasiat maknanya tidak berniat, maka) ia menjadi gugur dengan kematian orang yang menanggungnya, seperti halnya puasa.”

ZAKAT UNTUK MANFAAT UMMAH


Namun, kita wajar melihat kepada keutamaan zakat di sisi ummah. Menurut Abdul Karim, pandangan ulama yang menyatakan kewajipan zakat tidak gugur dengan kematian seseorang dan tidak pula harus dikeluarkan zakatnya hanya dengan adanya wasiat, adalah kerana zakat itu sendiri kewajipan yang bersifat kemasyarakatan.

Mereka yang mendapat manfaat daripada zakat itu misalnya terdiri daripada fakir dan miskin, maka zakat tidak boleh gugur begitu sahaja dengan sebab kematian pemiliknya, iaitu wajib dilunaskan oleh waris-warisnya.

Selain itu, ibadat zakat adalah ibadah harta yang boleh diwakilkan dan diwasiatkan. Ia berbeza dengan ibadat solat dan puasa, kerana ibadat berkenaan bukanlah bersifat harta dan hanya fizikal semata-mata dan tertakluk kepada individu berkenaan sahaja (Rujuk Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, halaman 28).

Sementara itu, jika ternyata si mati sudah pun menzakatkan hartanya dan kemudian dia meninggal dunia, maka ketika itu hartanya sudah pun bersih dan bolehlah terus dibahagi-bahagikan kepada para warisnya.

Maka, ketika waris-warisnya menerima pusaka itu, katakanlah dalam bentuk wang ringgit, maka ia dinisbahkan pula sebagai pendapatan kepada para waris dan saat itu, mereka pula hendaklah mengeluarkan zakatnya sebagai zakat pendapatan.

Sumber: Utusan