Adenan, Najib Setuju Bincang Lebih Lanjut Dalam Mesyuarat Teknikal


KUCHING – Perkara berkaitan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri Sarawak akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Persetujuan mengenainya dicapai dalam perjumpaan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menyebut bahawa dalam mesyuarat teknikal itu kelak, Peguam Negara akan mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Peguam Besar Negeri Sarawak pula mewakili Kerajaan Negeri Sarawak.

Adenan menemui Najib untuk membincangkan berkenaan penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta laporan Suruhanjaya Cobbold bagi memperkukuhkan tadbir urus Kerajaan Negeri Sarawak.

Ini bagi mendukung semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai sebuah daripada negeri yang aman dan makmur di dalam Malaysia.

Adenan turut menyampaikan memorandum tentang pendirian kerajaan negeri berhubung perkara itu kepada Najib.

Kenyataan berkenaan menyebut pertemuan itu mengambil maklum tentang beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal yang lebih lanjut di antara kedua-dua pihak.

Hasil pertemuan itu membuktikan jalinan erat dan hubungan yang baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan sesebuah negeri akan dapat memacu tadbir urus yang efektif dan mengelola dasar yang memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan berkesan. – BERNAMA