Ahmad Bashah Sihat, Jalani Rutin Pemeriksaan Biasa Di KMC - Nahar

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berada dalam keadaan sihat dan hanya menjalani pemeriksaan rutin biasa di Kedah Medical Central (KMC) di sini, hari ini.

Setiausaha Akhbarnya, Nahar Tajri menjelaskan bahawa Ahmad Bashah hanya berjumpa dengan doktor di KMC pada kira-kira pukul 10 pagi selama 30 minit selain membincangkan tentang keadaan kesihatan beliau.
   
"Selain menjalani pemeriksaan, Ahmad Bashah turut berbincang dengan doktor mengenai keadaan semasa dan cara penjagaan kesihatannya," katanya kepada Kedahnews.com, hari ini.
   
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa keping gambar menunjukkan kereta rasmi yang membawa Ahmad Bashah berada di hadapan KMC, viral di laman sosial dan mencetus tohmahan serta persepsi buruk terhadap Menteri Besar Kedah itu.

Ahmad Bashah sebelum ini menjalani pembedahan kecil di Hospital Pulau Pinang pada 6 Jun lalu akibat komplikasi usus dan kembali bertugas seperti biasa pada 3 Julai lalu.

Beliau sebelum itu telah dimasukkan ke KMC selepas hampir terjatuh akibat keletihan terlampau ketika menghadiri mesyuarat dengan Adun Barisan Nasional (BN) Kedah pada 4 Jun lepas. -Kedahnews.com