Air: Kedah Akan Bekerjasama Dengan Kerajaan Pusat Untuk Jangka Panjang

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah akan berbincang dengan Kerajaan Pusat bagi rancangan jangka panjang dalam usaha menyelesaikan masalah air yang sudah sekian lama menghantui rakyat di negeri berkenaan, khususnya di musim perayaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, pihak Kerajaan Negeri memandang serius masalah air yang berlaku sejak bertahun-tahun sebelum ini dan perancangan membangunkan negeri akan tergendala sekiranya negeri itu terus dihantui dengan masalah tersebut berterusan.

"Perancangan jangka masa panjang itu akan tetap diteruskan oleh pihak SADA.

"Kita akan berhubung balik dengan Kerajaan Persekutuan kerana untuk Kedah ini membangun, bekalai air tidak boleh menjadi masalah sebab kalau bekalan air bermasalah, pembangunan yang lain pun akan terencat," katanya kepada media di sini, petang tadi.

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah, di Wisma Darul Aman yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi terlibat.

Jawatankuasa khas tersebut tertubuh atas inisiatif Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sebuah mesyuarat khas pada 12 Julai lalu yang turut dihadiri oleh barisan Exco, Adun-Adun, pegawai kanan kerajaan negeri dan SADA. -Kedahnews.com