PETALING JAYA - AirAsia telah mula menggunakan nama 'LCCT KL' (terminal syarikat penerbangan kos rendah - KL), juga merujuk kepada KLIA2 dalam promosinya bermula Sabtu.
Dalam surat berita yang dihantar melalui e-mel kepada ahli-ahlinya, AirAsia menggambarkan LCCT KL sebagai 'Hab Tambang Rendah Asia', yang juga dirujuk sebagai KLIA2.
Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu barisan 'orang kuat' syarikat penerbangan itu dalam satu mesyuarat bahawa nama KLIA2 akan kekal, tetapi ia boleh terus dipasarkan kepada pelanggan sebagai LCCT KL.
Pertukaran nama itu telah menimbulkan kekeliruan bagi pelanggan AirAsia, dengan beberapa penumpang menyangka ia adalah terminal syarikat penerbangan tambang murah yang lama, yang kini beroperasi sebagai terminal kargo.
@Ikhwan88 berkata di Twitter bahawa rakannya terpaksa membuat pemeriksaan dengan AirAsia tentang lokasi LCCT KL, kerana menyangkakan ia telah berpindah dari KLIA2.
AirAsia telah berkeras untuk menggunakan LCCT-KL sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan lagi kedudukan Kuala Lumpur sebagai pendahulu dalam pintu masuk penerbangan kos rendah di rantau Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, menjenamakan KLIA2 sebagai LCCT adalah sinonim dengan sifatnya sebagai hab penerbangan kos rendah.
Dalam pertemuan dengan Liow pada Jumaat, Fernandes bersetuju bahawa perubahan nama adalah tidak penting.
"Kami pergi ke sana supaya mesej dapat disampaikan bahawa kita mahu mempromosikan kepada dunia bahawa KLIA2 adalah hab kos rendah. Saya rasa ini difahami dengan jelas oleh menteri," katanya.
Beliau berkata kira-kira 90 peratus daripada penerbangan di KLIA2 adalah penerbangan tambang murah.
"Kami mahu mempromosikan kepada dunia, bahawa apa sahaja nama yang dipanggil, ia adalah hab kos rendah di Asia," katanya.
Sumber: mStar