Akhir Ramadhan: 18 Jemaah Cedera Dirempuh Di Masjidil Haram


SEKURANG-KURANGNYA 18 orang cedera dalam insiden rempuhan berhampiran Masjidil Haram, di Makkah.

Akhbar al-Riyad melaporkan, kejadian berlaku pada malam Jumaat, ketika umat Islam berkumpul beramai-ramai bagi mengerjakan ibadah pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan.

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di tempat kejadian, menurut akhbar itu yang memetik kenyataan seorang pegawai kesihatan.

Pada 24 September tahun lalu ratusan jemaah haji meninggal dunia akibat satu kejadian rempuhan di Mina.

Susulan kejadian itu, pihak keselamatan Arab Saudi mengetatkan lagi langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Bermula pada musim haji tahun ini, para jemaah dari Asia Tenggara termasuk Malaysia dibekalkan gelang tangan keselamatan elektronik dengan kod bar bagi memudahkan pengecaman identiti. –Kedahnews.com