ALOR SETAR - Golongan anak-anak muda Kedah sentiasa berada dekat di hati dan tidak wajar dibiarkan terpinggir dari menerima sebarang bantuan memandangkan mereka juga terdiri dari mereka yang kurang bernasib baik.
Presiden Kelab Belia Darulaman, Syed Mohamad Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, terdapat juga anak muda di negeri itu yang kuat berusaha dan bekerja, namun masih belum berjaya mengeluarkan diri dari paras kemiskinan.
"Golongan anak-anak muda ni sentiasa di hati kami.
"Ini adalah antara inisiatif yang dapat kami usahakan bagi mendekati generasi muda, pelajar dan sebagainya, kami mengambil berat tentang mereka selain mengeratkan lagi tali silaturrahim dengan mereka," jelas Syed Mohamad Johan Rizal.
Menurutnya lagi, selalunya program-program bantuan terutama bersempena Aidilfitri sering meminggirkan golongan muda dan lebih memberi fokus terhadap golongan asnaf yang sudah berusia.
Justeru itu katanya, Kelab Belia Darulaman dengan kerjasama Biro Kebajikan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar mengambil inisiatif tersebut bagi mendekatkan diri dengan anak-anak muda di negeri berkenaan.
Beliau ditemui sejurus selepas selesai program Jalinan Kasih Syawal Bersama Golongan Asnaf yang berlangsung di Masjid Ar-Rahmah, di Taman Wira Mergong, di sini petang tadi.
Program tersebut merupakan kali ketiga diadakan berturut-turut dan dianggarkan lebih 200 golongan anak-anak muda sekitar Alor Setar yang terpilih diberikan bantuan keperluan asas dan sumbangan kewangan.
Turut hadir di majlis berkenaan adalah Ketua Pergerakan Pemuda Alor Setar merangkap Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Syed Hafiz Syed Mustafa. -Kedahnews.com