Ancaman DAESH: Awasi Tempat Ibadat Masing-Masing


KUCHING - Jawatankuasa serta pemimpin tempat ibadatseperti gereja, masjid, kuil dan tokong digesa supaya mengawasi premis masing-masing daripada menjadi sasaran pengganas Daesh.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata mereka perlu segera melaporkan kepada polis sekiranya terlihat orang yang berkelakuan mencurigakan di kawasan tempat ibadat masing-masing.

"Kumpulan pengganas terbabit bukan sahaja menyasarkan gereja tetapi juga masjid dan tempat beribadat lain seperti yang berlaku di negara Arab," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Masjid Miftahul Jannah,Kampung Muara Mongkos, 110 kilometer dari Kuching, Ahad.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem
Riot yang juga Anggota Parlimen Serian berkata serangan yang dilakukan militan Daesh di Puchong, Selangor baru-baru ini membuktikan kumpulan itu turut menjadikan Malaysia sebagai sasaran serangan mereka.

"Orang yang menjadi mangsa bukan sahaja dalam kalangan pengikut agama Kristian tetapi juga umat Islam, tiada satu agama pun di dunia ini mengajar pengikutnya berbuat jahat dan membunuh sesama manusia," katanya.

Riot berkata rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan, agama dan budaya sangat bertuah kerana dapat hidup dalam suasana aman damai. -Bernama