Anggota DAESH Akui Terima Arahan Lancar Serangan Terhadap Malaysia


KUALA LUMPUR – Empat belas individu ditahan Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman antara 14 hingga 20 Julai lalu, selepas disyaki terbabit dengan Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, tangkapan dilakukan selepas melancarkan operasi di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Menurutnya, antara turut diberkas ialah seorang wanita dan mereka semua berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Dua belas suspek yang ditahan adalah anggota sama yang ditahan dalam operasi hujung bulan lalu.

“Mereka dipercayai menerima arahan daripada Muhamamad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di negara ini,” katanya.

Khalid berkata, seorang daripada suspek mengaku berkongsi kaedah membuat bahan letupan melalui aplikasi Telegram dengan lain-lain anggota pengganas.

“Suspek juga mengaku menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk menghasilkan bahan letupan bagi melancarkan serangan di Lembah Klang.

“Bagi tujuan itu, Muhammad Wandy akan membekalkan sepucuk pistol kepada suspek melalui orang perantaraan sebagai persediaan mempertahankan diri sekiranya ditangkap polis,” katanya.


Polis turut merampas satu bahan letupan yang sudah diubah suai seberat 1 kilogram yang didakwa dihasilkan untuk menyerang para pemimpin kanan polis, menurut Khalid.

Semua yang diberkas akan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas).

Muhamad Wandy adalah seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Kedah yang pergi ke Syria untuk menyertai Daesh.

Penangkapan itu adalah yang terbaru berkaitan Daesh, yang sebelum ini dituduh mendalangi serangan bom tangan terhadap sebuah kelab malam di Puchong, dan didakwa sebagai serangan pertama dilancarkan di Malaysia.

Sumber: myMetro