Anjur Jualan Amal Kutip Dana Untuk Pertubuhan Kebajikan

Nur Azini berbual dengan Amran yang turut derma darah.
ALOR SETAR - Biro Kebajikan dan Perhubungan Kesan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) Kedah mengambil inisiatif menganjurkan jualan amal demi membantu mengutip dana untuk pertubuhan kebajikan terpilih.

Penyelarasnya, Nur Azini Mohd Zaki berkata, jualan amal berkenaan merupakan sebahagian aktiviti di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) biro berkenaan.

“Alhamdulillah, kita terima  wang sumbangan RM50 dari setiap usahawan dari kira-kira 13 gerai, malah ada memberi lebih sumbangan wang untuk tujuan kebajikan itu.

“Kita berhasrat menyalurkan hasil jualan amal kepada pertubuhan kebajikan memerlukan nanti,” katanya dalam Program Pameran, Pemeriksaan Kesihatan dan Jualan Amal di Wisma Persekutuan Anak Bukit, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JANM Kedah, Mohd Amran Abd Ghani.

Nur Azini berkata, mereka akan menggunakan kutipan wang itu untuk membeli barang keperluan penghuni rumah kebajikan terpilih bagi meringankan beban mereka.

Beliau berkata, pihaknya memiliki pelbagai perancangan aktiviti berbentuk kebajikan demi membantu golongan sebegitu, antaranya majlis makan amal hujung tahun nanti.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, mereka turut mengadakan aktiviti lain, seperti kempen derma darah bagi membantu memenuhi keperluan kritikal darah dalam negara.

Tidak ketinggalan, katanya, pameran dan pemeriksaan kesihatan, serta demonstrasi penjagaan gigi untuk memberi kesedaran mengenai penjagaan kesihatan betul.

Antara aktiviti lain, lawatan ke booth, persembahan bercerita, pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan kerusi berirama kanak-kanak dalam program julung kalinya diadakan itu.

Terdahulu, kira-kira 500 peserta mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan, termasuklah kanak-kanak pra Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Gunong dan Tadika Kemas Anak Bukit.

Program itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kota Setar, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Kota Setar dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sumber: Sinar Harian