Atuk Kahwin Gadis Cantik Jadi Buah Mulut Netizen


MAKASSAR – Seorang datuk berusia 63 tahun menjadi buah mulut pengguna media sosial di Indonesia selepas dia berkahwin dengan gadis berusia 18 tahun.

Akhbar tempatan, Harian Fajar melaporkan, Nasir berkahwin dengan gadis pujaannya, Milawati pada Isnin lalu di Desa Suwa yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Watampone dekat sini.

Ketika diwawancara akhbar itu memberitahu, dia mendakwa sudah berkahwin sebelum ini, tetapi isterinya meninggal dunia pada Februari lalu akibat sesak nafas.

Katanya, sejak menduda dia berhasrat untuk berkahwin lagi dan mahu bakal isterinya seorang yang masih dara.

“Alhamdulillah, akhirnya doa saya dimakbulkan Tuhan,” kata Nasir.

Menurutnya, dia bertemu dengan Milawati sebanyak dua kali ketika bertandang ke rumah gadis itu sebelum mengambil keputusan untuk masuk meminang.

Bapa Milawati, Nasaruddin, 48, memberitahu, dia menerima lamaran Nasir selepas anaknya sendiri yang bersetuju.

“Tiada paksaan dalam perkahwinan ini. Apabila kedua-duanya bersetuju saya hanya memberi restu,” jelasnya.

Sementara itu, Milawati berkata, dia tiada masalah berkahwin dengan Nasir walaupun jarak usia yang memisahkan mereka hampir 45 tahun.

“Banyak orang yang menghina kami, tetapi inilah jodoh dan saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang,” katanya. – Agensi