SUNGAI PETANI – Seorang bapa kepada bayi sakit kulit merayu agar mana-mana pakar kulit yang boleh mengubati penyakit anaknya dapat tampil merawat anaknya itu.
Mohd Taufik Mohd Noor, 25, berkata, anaknya, Muhammad Iman Lutfi, 9 bulan dilahirkan bermasalah kulit atau dikategorikan sebagai 'harlequin baby'.
Menurutnya, isterinya, Nor Hasliza Zakaria, 24, tidak dimaklumkan mengenai kelahiran 'ganjil' itu sebaliknya hanya diberi peluang menatap wajah anak yang dikandung selama sembilan bulan selepas tiga hari pembedahan dilakukan.
"Keadaan dan wajah anak saya lain dengan bayi lain, dia macam dilahirkan dalam kantung ibu yang tak berair, namun masih melekat di tubuh badannya menyebabkan kulitnya sering berganti," katanya.
Mohd Taufik berkata, difahamkan anaknya itu dilaporkan sebagai bayi harlequin kedua di Malaysia yang masih bertahan sehingga kini di mana satu lagi kes membabitkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di Johor.
"Doktor cakap anak saya hanya mampu bertahan hingga tiga bulan saja tetapi berkat doa dan kesabaran, Iman kini sudah pun berusia sembilan bulan," katanya.
Mohd Taufik dan Nor Hasliza menitikberatkan penjagaan eksklusif buat anak mereka yang dikategorikan sebagai harlequin baby. |
"Setiap hari kami ulang-alik ke hospital, namun lega bila dibenarkan pulang dua bulan lalu.
"Disebabkan keadaan kulit yang sentiasa menyalin, penjagaan rapi diberikan semata-mata mahu elak dia terkena jangkitan bakteria," katanya.
Malah katanya, anaknya juga perlu sentiasa berada dalam keadaan suhu terkawal bagi mengekalkan kelembapan kulit.
“Selain penggunaan susu dan krim khas, sabun dibenarkan, ubat-ubatan tertentu, air antibakteria dan lain-lain kelengkapan perubatan bukan sahaja buat dirinya tetapi untuk individu yang mengendalikannya juga perlu dititikberatkan,” katanya.
Disebabkan itu katanya, pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan di sebuah syarikat swasta tidak cukup untuk kos perubatan termasuk penyediaan peralatan lain yang diperlukan.
Menurut Mohd Taufik, dia baru sahaja mengisi borang permohonan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan telah menguruskan proses penghantaran borang tersebut baru-baru ini.
Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 502054701598 atau mempunyai kaedah rawatan penyembuhan yang berkesan boleh menghubungi Mohd Taufik di talian 017-6949021.
Sumber: Sinar Harian