Bangsal Jadi Stor Simpan LPG, 199 Tong Dirampas Di Alor Setar

Shahrudin (kiri) melihat pekerja mengangkut gas yang dirampas oleh KPDNKK
ALOR SETAR - Seorang lelaki yang menjadikan bangsal di rumahnya sebagai tempat menyimpan Gas Petroleum Cecair (LPG) diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Kedah, kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Shahrudin Hamzah berkata, pihaknya merampas 199 tong LPG bersubsidi bernilai RM18,386 dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi.

“Serbuan dibuat melalui Ops Gasak selepas mendapat maklumat daripada orang awam mengenai aktiviti pengedaran LPG tanpa lesen ini,” katanya pada sidang media, disini.

Menurut Shahrudin, lelaki terbabit dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan sejak  dua tahun lalu dan dipercayai menjadikan stor bagi proses pemindahan gas berkenaan untuk diedarkan di sekitar kawasan itu.

“Berikutan beberapa dokumen turut dijumpai, kita percaya terdapat sebuah syarikat pemborong berlesen turut terlibat dalam kegiatan ini sebagai pembekal kepada lelaki tersebut dan tindakan lanjut akan diambil,”katanya.

Sharudin berkata, pihaknya turut mengesan beberapa pihak yang menjalankan kegiatan ini kerana dipercayai mereka telah mengeluarkan surat yang digunakan sebagai lesen.

“Lesen urusniaga LPG yang sah hanya boleh dikeluarkan oleh pihak KPDNKK, jadi lesen yang diperolehi selain daripada itu, adalah palsu.

Menurutnya, pihak KPDNKK tidak menghalang urusniaga yang melibatkan LPG kerana faham ia merupakan keperluan domestik terutama ketika musim perayaan.

“Namun, ia perlu mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan mendapat kebenaran daripada pihak bomba dari segi penyimpanan kerana bimbang berlaku kebakaran.

Shahrudin berkata, kes akan disiasat mengikut Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 kerana menyimpan gas secara haram.

Sumber: Sinar Harian