Barang Kemas Bernilai RM800,000 Lesap Di Sg Petani

Kedai emas yang dipecah masuk oleh penjenayah.
SUNGAI PETANI - Seorang pemilik kedai emas kerugian kira-kira RM800,000 selepas premisnya di Jalan Pengkalan, di sini, dipecah masuk, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pekerja kedai emas berusia 19 tahun hanya menyedari kedai dipecah masuk ketika mahu memulakan perniagaan pada jam 10 pagi.

Beliau berkata, apabila pengadu sampai ke kedai emas berkenaan, dia mendapati bumbung siling bahagian tengah kedai berlubang.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di dalam bilik, dia mendapati dinding tepi peti besi telah dipotong dan kesemua barangan kemas hilang,”katanya kepada media, di sini, semalam.

Md Zukir berkata, penjenayah juga didapati merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan, sebelum melarikan barang kemas berkenaan.

Katanya, polis percaya dua hingga tiga orang penjenayah terlibat.

“Polis sedang memburu mereka, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan  kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian