Bercakaran Sesama Sendiri Untuk Pertahan Kesucian Islam?


SIRI serangan keganasan yang berlaku di beberapa negara penghujung Ramadan dan awal Syawal lalu bukan sahaja merencatkan sambutan puasa dan hari raya malah lebih teruk lagi telah mencemarkan nama baik, imej dan juga kesucian agama Islam.

Antara serangan keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh atau dikenali militan IS ini ialah yang berlaku di Arab Saudi, Bangladesh dan Iraq. Malah buat pertama kalinya pihak polis negara kita turut mengisytiharkan letupan bom tangan di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Julai lepas sebagai angkara Daesh.

Oleh kerana dalang serangan ini mengaku Islam maka masyarakat dunia terutamanya Barat dengan mudah melabel orang Islam sebagai pengganas dan berbahaya. Ini sekali gus meningkatkan lagi Islamofobia dalam kalangan masyarakat dunia. Sentimen anti-Islam serta prejudis terhadap agama Islam dan orang Islam semakin merebak dan membimbangkan. Akibatnya imej dan kesucian agama Islam terus tercemar dan tercalar.

Walaupun kita tidak setuju dengan persepsi, prejudis dan tuduhan melulu pihak Barat terhadap agama Islam kerana Islam tidak pernah mengajar untuk melakukan perbuatan zalim dan terkutuk sehingga mengorbankan nyawa dengan sewenang-wenangnya namun persepsi barat itu tetap ada asasnya. Serangan pengganas yang bertopengkan jihad terutamanya selepas tragedi 9/11 di Amerika Syarikat, menambahkan persepsi negatif mereka.

Negara kita yang selama ini selamat turut terheret sama dalam serangan bom di Puchong yang didalangi oleh anggota Daesh. Walaupun pihak berkuasa secara aktif dan agresif cuba membendung penularan pengaruh militan IS di negara kita termasuk menangkap individu yang disyaki ada kaitan, namun jelas anggota kumpulan ini semakin berani dan mula menjadikan negara kita sebagai antara lokasi sasaran yang terbaru.

Malah kita juga pernah dikejutkan dengan video yang jelas mencabar pihak polis sebelum ini jika mengganggu aktiviti kumpulan mereka, yang mengesahkan kumpulan ini memang ‘berani mati’ dan sanggup melakukan apa saja.

Dalam hal ini kita tidak boleh memandang enteng lagi ancaman dan pengaruh kumpulan pengganas Daesh ini. Kita sebagai umat Islam wajib melakukan sesuatu untuk memulihkan kembali imej Islam serta mempertahankan kesucian agama suci ini.

Bagi penulis masalah utama umat Islam pada hari ini ialah kita tidak pernah bersatu. Perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan umat Islam terlalu nipis dan mudah dirobek. Kita terus bercakaran dan bertelagah sesama sendiri baik merebutkan kuasa, harta mahupun kedudukan. Secara ringkasnya umat Islam terpisah akibat perbezaan ideologi, fahaman dan aliran politik dan juga ekstremisme agama. Ini ditambah tindak-tanduk kumpulan liberal yang sering mencetuskan kontroversi dan kekeliruan dalam ka­langan umat Islam.

Hakikatnya kita seringkali gagal untuk membezakan antara tuntutan agama dengan keperluan dan kemahuan masing-masing. Di negara kita sendiri umat Islam terbahagi kepada beberapa kumpulan mengikut ideologi dan topi politik masing-masing.

Misalnya kita ada orang Islam UMNO, kita ada orang Islam Pas dan kita juga ada orang Islam versi PKR dan PAN malah dalam DAP juga ada orang Islam. Kita sering bercakaran dalam hal politik kepartian yang sekali gus menjarakkan lagi kesatuan dan persaudaraan kita sebagai orang Islam.

Persoalannya di mana kekuatan kita? Walaupun umat Islam adalah penduduk paling ramai di negara ini malah Islam telah dimasyhurkan sebagai agama rasmi bagi Persekutuan namun percayalah kita tidak akan jadi kuat andai terus bercakaran sesama sendiri.

Jadi kita perlu mengembalikan penyatuan, perpaduan dan kekuatan umat Islam di negara kita. Penulis percaya Malaysia boleh memainkan peranan yang penting dalam membetulkan pandangan dan persepsi negatif masyarakat Barat terhadap Islam dan orang Islam.

Di peringkat domestik, kita perlu terus buktikan betapa orang Islam bukan semuanya pengganas sebaliknya di Malaysia kita mampu bersatu, maju ke hadapan dan boleh jadi negara dan masyarakat Islam contoh kepada dunia luar. Hal ini tidak mustahil untuk dilakukan kerana di negara kita, Islam adalah agama rasmi dengan penduduk paling ramai. Andai kita simpan baju dan topi politik masing-masing, kita boleh bersatu atas nama Islam.

Apa guna kita bercakaran sesama sendiri andai akhirnya kita gagal mempertahankan kesucian dan kedudukan agama kita. Tiada guna juga andai kita miliki kuasa tetapi agama Islam tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Jadi sekali lagi marilah kita bersatu atas nama Islam. Ingat sebagai umat Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga, memelihara dan memartabatkan kedudukan dan kesucian agama Islam.

Dalam pada itu, negara kita boleh terus memainkan peranan aktif di peringkat global untuk membantu memulihkan nama baik Islam yang semakin tercalar. Kita perlu menggunakan pengaruh yang ada dalam platform lebih besar seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam.

Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh. Cukup-cukuplah agama Islam terus dijadikan sebagai kambing hitam. Selama mana lagi kita hendak berdiam diri dan membiarkan perkara ini terus berlaku. Ambillah iktibar atas semua yang berlaku selama ini dan buat sekian kalinya marilah kita bersatu demi menjaga imej dan nama baik serta memartabatkan kesucian agama Islam baik di negara kita mahupun di seluruh dunia.

*NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia/Utusan