Berlian Sebesar Bola Tenis Tidak Laku Dalam Acara Lelong


SEBUAH berlian bersaiz sebesar bola tenis gagal mendapat perhatian daripada pembida dalam sebuah majlis bidaan yang dianjurkan Sotheby yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Syarikat bidaan terkenal tersebut sebelum ini menjangkakan nilai berlian itu akan terjual sehingga AS$70 juta (RM282 juta).

Berlian 1,109 karat itu dijumpai di tapak perlombongan syarikat Lucara di Bostwana dekat Afrika Selatan, pada November lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lucara, William Lamb, kegagalan menjual berlian itu merupakan satu perkara yang mengecewakan buat dirinya.

Namun begitu, Lamb percaya pada masa akan datang, berlian itu akan mendapat sambutan daripada para pembida di luar sana.

“Kenyataan berlian itu tidak terjual adalah satu hal yang mengecewakan namun saya percaya akan ada permintaan untuknya yang mana mungkin datang daripada individu yang biasa kami berurusan sebelum ini,” katanya dipetik Channel NewsAsia.

Kegagalan berlian itu terjual adalah disebabkan acara bidaan kebiasaannya mempertaruhkan berlian dipotong kecil bukannya bersaiz besar seperti yang ditawarkan oleh Lucara.

Namun Lucara berpendapat tindakannya itu betul kerana mahukan individu berpotensi berminat dengan barangan mahal yang mempunyai usia ratusan tahun dapat memilikinya dengan cara yang lebih mudah dan senang.

Buat masa ini, Lucara masih menyimpan berlian tersebut dan percaya nilainya boleh mencecah ratusan juta dolar selepas ini. –Kedahnews.com