Bernas Nafi Dakwaan Tipu Peratusan Beras Hancur


PASIR SALAK - Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menafikan dakwaan kes berunsur penipuan peratusan beras hancur seperti mana yang  tersebar dalam media sosial.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata penjelasan berhubung dakwaan itu dibuat pihak Bernas dalam satu mesyuarat pasca kabinet kementerian pada Rabu lalu.

"Dalam mesyuarat itu, pegawai Bernas memaklumkan kepada saya dan juga peringkat Kabinet bahawa mereka menafikan sekeras-kerasnya tidak melakukan penipuan berkaitan beras hancur 15 peratus dijual pada harga mahal," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat penipuan terancang berkaitan penggunaan label lima peratus beras hancur sedangkan kandungan sebenar di dalam setiap kampit beras adalah 15 peratus hancur.

Tajuddin berkata kementeriannya bersama pihak Bernas kini masih menyiasat dakwaan itu yang dikeluarkan oleh sebuah blog kerana seandainya benar, ia merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan dengan menipu pengguna.

"Bernas merupakan pembekal yang menjual beras kepada pemborong, sekiranya bernar ada penipuan seperti yang didakwa, ia berlaku di pihak pemborong, justeru, kementerian melalui bahagian kawal selia prosedur padi dan beras akan siasat perkara ini di peringkat pemborong," katanya.

Beliau berkata sekiranya pihak syarikat pemborong didapati melakukan perkara sedemikian, tindakan penggantungan lesen akan dikenakan terhadap mereka. - Bernama