"Biar Papa Asal Bergaya", Realiti Hidup Anak Muda Masa Kini?


SUATU hari, di celah-celah kesibukan kota metropolis, kelihatan ‘dia’: seorang gadis muda bertata rias rapi, bibir beroles gincu Givenchy, sepatu tumit tinggi Giuseppe Zanotti dan kaca mata hitam ‘So Real’ Christian Dior terletak kemas di atas batang hidungnya yang mancung dan sempurna.

Dia kemudiannya tergopoh-gapah membuka zip tas tangan Louis Vuitton, untuk melayani panggilan di telefon bimbit model terbaharu keluaran Apple Inc. berwarna ‘rose gold’ miliknya itu.

Oh, tidak! Dia tidak sempat menjawab sebelum si pemanggil menamatkan hubungan di talian. Dia cuba untuk mendail kembali.

Namun ada suara lain yang menyambut panggilan itu: “Maaf, baki akaun anda tidak mencukupi. Sila tambah nilai untuk membuat panggilan….”

‘Dia’ adalah cermin anak muda golongan professional kini, yang tidak mahu mengalah dalam bergaya namun realitinya, tidak berduit!

Dalam era bila mana Internet bermaharajalela dan setiap inci kehidupan harian mahu didokumentasikan untuk tatapan awam, materialisme telah perlahan-perlahan ‘membunuh’ sifat common sense yang ada pada sesetengah golongan muda.

Anak muda kini terlalu taksub dengan label dan jenama, sehingga sanggup mengikat perut semata-mata mahu memenangi ‘persetujuan’ sosial baik dari segi menarik minat orang lain untuk berkawan dengan mereka mahupun ‘Likes’ di media sosial.


Sebagai contoh, mereka yang sanggup beratur panjang untuk membeli model iPhone terbaharu atau sepatu sukan edisi terhad yang mencecah harga ribuan ringgit itu bukanlah golongan pekerja.

Sebaliknya hanyalah pelajar yang masih lagi menuntut dan mustahil memiliki kuasa membeli sama seperti orang yang sudah bekerja.

Tidak dinafikan, dalam mengharungi kehidupan seharian, seseorang itu tidak dapat lari daripada hutang sama ada bagi pembiayaan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya.

Namun, ada juga yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan elektronik dan sebagainya agar dilihat mewah serta eksklusif.

Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan aksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa.

Apa gunanya jika memiliki banyak barangan tetapi tidak mempunyai wang simpanan dan menanggung hutang keliling pinggang?

Teringat pula kisah seorang pemuda daripada Singapura yang sanggup mengikat perut memakan mee segera setiap hari kerana tidak mampu untuk membayar wang ansuran kereta BMW miliknya setiap bulan.

Bila dinasihati supaya jual sahaja kereta itu daripada hidup serba ‘daif’ sebegitu, dengan nada defensifnya dia mengatakan bahawa kereta itu adalah satu simbol status bagi dirinya dan tidak boleh dijual demi menjaga ‘air muka’!

Fikir kembali, apakah berbaloi untuk mengorbankan keselesaan sendiri semata-mata untuk dipandang tinggi oleh orang lain? Ukurlah baju di badan sendiri,  jangan sampai besar pasak dari tiang. –Kedahnews.com