Cadang Suntikan Vaksin Untuk Murid Darjah 4, 5 - Mahdzir Khalid


BATU PAHAT – Kementerian Pendidikan mencadangkan agar suntikan vaksin kepada pelajar sekolah rendah Darjah 4 dan 5 diadakan di sekolah bagi memudahkan ia dilaksanakan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian menyokong sepenuhnya keputusan Kementerian Kesihatan untuk memulakan saringan imunisasi bagi mengenal pasti murid yang tercicir daripada menerima vaksin berkenaan.

“Di peringkat kementerian, kami dah siapkan pangkalan data dan pejabat pendidikan daerah juga telah bersedia,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Bicara Aidilfitri Warga Pendidik Bersama Wanita UMNO Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn di sini semalam.

“Kami anggarkan kira-kira 7,000 sekolah rendah seluruh negara akan terlibat dalam melaksanakan saringan imunisasi itu,” kata beliau.

Beliau berkata dengan adanya suntikan vaksin di sekolah, ia akan lebih memudahkan ibu bapa dan guru untuk mengawal dan mengurus proses itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata saringan imunisasi akan diadakan bulan hadapan.

Dianggarkan terdapat 500,000 murid pada setiap peringkat darjah, bagaimanapun saringan akan bermula dengan Tahun Empat dan Lima memandangkan murid tahun enam akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Sementara itu, Mahdzir berkata perlunya ada nilai tambah dalam sesi pengajaran pendidikan Islam di sekolah-sekolah dalam usaha warga pendidik mengawal penularan kefahaman yang tidak benar.

Beliau berkata seperti yang pernah disebut sebelum ini, ancaman Daesh adalah satu ancaman yang serius dan boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana-mana.

“Maka kita perlu meningkatkan kefahaman kita. Kita perlu tambah nilai kepada sukatan pelajaran yang ada ini supaya kita terangkan apa sebenarnya bentuk ancaman tersebut yang dihadapi kepada penduduk seluruh dunia,” kata Mahdzir.

Menurutnya, sukatan pelajaran pendidikan Islam sedia ada akan diteruskan dan akan diselitkan sesi penerangan mengenai pembinaan negara bangsa sekurang-kurangnya sekali sebulan pada pelajar menengah atas.

Mahdzir berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh kelmarin.

Beliau berkata masyarakat Islam di negara ini perlu diberi kefahaman menyeluruh mengenai tuntutan berjihad dan ketaatan terhadap pemerintah supaya tidak terpesong daripada konsep jihad mengikut ajaran Islam. – BERNAMA