Conteng Tangan Dengan Bakat Ilusi Optik


Seorang pelukis wajah menggunakan kemahirannya melukiskan lengan dan jarinya menjadi ilusi optik menakjubkan.

Lisha Simpson, 21, dari Canberra, Australia menyifatkan dirinya sebagai artis badan berpotensi dan mencipta karya seni 3D hebat dengan hanya menggunakan cat.

Lisha seorang pelajar dengan dua anak lelaki, Cooper dan Oliver, mencipta imej luar biasa seperti obor-obor, roket angkasa dan sesungut yang boleh menipu mata kasar.

Karya berwarna-warni itu membolehkan dia mempunyai ramai pengikut dalam media sosial tempat dia berkongsi gambar hasil kerjanya. Dia kini mempunyai 12,800 pengikut dalam Instagram dan 958 ‘like’ di Facebook.

Kemahiran seni badan Lisha semakin berkembang kerana banyak membuat latihan pada tubuhnya sendiri.

Dia bermula dengan membuat corak 2D kuda dan harimau belang pada tapak tangannya, sebelum memulakan eksperimen dalam reka bentuk 3D.


Rekaan pertamanya rama-rama biru, lengkap berbayang di bawah sayap menampakkan seolah-olah mahu terbang yang dimuat naik dalam Instagram hampir setahun lalu.

“Saya terfikir untuk membuat 3D dan seni badan ala ilusi beberapa bulan lalu selepas memulakan lukisan wajah, setahun sebelumnya apabila menghadiri kursus lukisan dan mempelajari semua asas dan pelbagai jenis cat,” katanya.

Dia mengaku semakin ‘ketagih’ dan mula melukis setiap hari, dengan belajar teknik lebih mencabar sedikit demi sedikit.

“Saya sentiasa belajar sesuatu yang baru dan masih lagi belajar. Pada masa hadapan saya mahu mencipta ilusi pada seluruh badan pula. Suatu hari nanti saya mahu melukis pada anugerah seni badan Australia,” kata Lisha.

Sumber: myMetro