Cuaca Diramal Baik Pagi Aidilfitri - Jabatan Meteorologi


KUALA LUMPUR – Cuaca pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang disambut minggu ini, diramalkan baik di seluruh negara.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada 6 dan 7 Julai ini diramalkan baik pada sebelah pagi, namun dijangka hujan pada sebelah petang dan malam.

“Pada sebelah petang, hujan dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di seluruh Semenanjung serta beberapa bahagian di Sarawak iaitu Bintulu, Miri, Limbang dan Kapit,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut, kawasan bahagian Pantai Barat Sabah, Kudat dan Sandakan, serta Wilayah Persekutuan Labuan juga dijangka mengalami hujan dan ribut petir di satu dua tempat.

Pada sebelah malam pula, beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, serta di beberapa bahagian di Kuching, Samarahan, Kapit, Miri dan Limbang dijangka mengalami hujan.

Beberapa kawasan di bahagian pedalaman dan pantai barat di Sabah turut dijangka mengalami hujan (Tawau dan Sandakan). – BERNAMA