DAP Dakwa Amalan "Hukum Islam" Pincang Di Seluruh Dunia

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari.
KUALA LUMPUR – “Jelas terdapat terlalu banyak kepincangan dalam pengalaman pelaksanaan “hukum Islam” di seluruh dunia. Hak mangsa dicabul dan ditindas,” kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari.

Beliau memberi contoh apa yang berlaku di Arab Suadi, United Arab Emirates, Qatar dan Pakistan apabila wanita di negara terbabit menjadi mangsa penganiayaan `hukum Islam’ melibatkan hukuman penjara dan sebatan.

Malah, kata beliau, hukuman rejam yang terkandung dalam `hukum Islam’ masih menjadi pertikaian ramai pihak yang berpandangan hukuman itu tidak termaktub dalam al-Quran dan ia sebenarnya berasal daripada syariat Yahudi.

Justeru, beliau mengingatkan seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam bahawa hukuman rejam yang terkandung dalam enakmen hudud Kelantan juga terdapat kepincangan.

“Hujah bahawa “bukan Muslim tidak terkesan” tidak boleh dipakai apabila ramai bukan muslim yang dikenakan hukuman hudud baik di negara Arab atau Indonesia. Awal tahun ini, seorang wanita Kristian di Acheh telah dihukum sebat kerana menjual arak.

“Bagaimanakah kita boleh menjamin hal ini tidak akan berlaku di negara kita apabila kuasa Mahkamah Syariah diperluas dan diperkasakan? Pada masa ini pun, kerap berlaku keputusan Mahkamah Syariah yang memudaratkan bukan Muslim, khususnya dalam isu hak penjagaan anak dan pewarisan,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Zairil mempertikaikan adakah syariat Islam boleh dilaksanakan dengan adil di Malaysia jika berlaku ketidakadilan atau penindasan terhadap golongan wanita, bukan Muslim atau minoriti muslim seperti penganut Syiah. – Kedahnews.com