Adik Haraz Naufal Muhamad Noor Syuhada |
ALOR SETAR - Derita adik Haraz Naufal Muhamad Noor Syuhada yang dilapor mengalami masalah saluran mengepam darah kanan tidak berfungsi hari ini telah mendapat perhatian dari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah.
Kehadiran Biro Kebajikan Pergerakan itu bagaikan sedikit sebanyak menghilangkan resah hati pasangan Muhamad Noor Syuhada Yusoff, 36, dan isterinya, Norsyuhada Abdullah, 28, yang sudah lebih seminggu berkampung di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
"Kami terkesan dengan derita adik Haraz, bayi yang baru lahir dan ibu bapanya diduga dengan ujian sebegitu berat.
"Melihat keadaan adik Haraz, maka kami rasa terpanggil untuk membantu meringankan beban yang ditanggung ibu bapanya. Cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Walau sumbangan kami ini tidak seberapa, namun kami akan usahakan lagi sedaya mampu," kata Pengerusinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Adik Haraz Naufal yang baru berusia 9 hari itu terpaksa ditahan di wad HSB selepas dikesan jururawat dua hari selepas dilahirkan pada pagi Rabu lalu apabila muka dan badan bayi malang itu bertukar kebiruan tanpa diketahui punca.
Dia kemudian disahkan mengalami masalah saluran mengepam darah kanan tidak berfungsi.
Muhamad Noor Syuhada Yusoff |
Pihak hospital kemudian memaklumkan bahawa adik Haraz Naufal perlu menjalani pembedahan atas masalah jantung tersebut yang memerlukan kos mencecah RM45,000.
"Saya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan, saya tidak mampu menyediakan duit sebanyak itu untuk pembedahan anak," kata Muhamad Noor Syuhada, merayu bantuan dari orang ramai sebelum ini.
Syed Mohd Johan Rizal ketika menziarahi adik Haraz Naufal telah menyerahkan sumbangan berbentuk hamper barangan bayu dan sejumlah sumbangan wang tunai kepada Muhamad Noor Syuhada petang tadi.
Beliau berkata, pihaknya akan terus cuba membantu adik Haraz untuk mengutip sumbangan bagi membiayai kos pembedahan bayi tersebut menerusi agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Zakat Kedah, Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Kami juga bercadang untuk melancarkan 'Tabung Prihatin Adik Haraz' secepat mungkin bagi memastikan adik Haraz dapat menjalani pembedahan secepat mungkin," katanya lagi.
Bagi mereka yang sudi menghulurkan sumbangan buat adik Haraz, boleh berbuat demikian dengan menyalurkan jariah masing-masing menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 0213041000111228 di atas nama Muhamad Noor Syuhada Yusoff atau hubungi beliau di talian 012-5654827.
Turut hadir bersama program ziarah kasih tersebut ialah Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri, Syed Hafiz Syed Mustafa, Ahli Lembaga Lawatan HSB, Abdul Kadir Mohamad dan beberapa ahli pergerakan tersebut. -Kedahnews.com