Dilema Anak Bila Ibu Bapa Tidak Solat


INTAN sering termenung memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk mengajak ibu dan ayahnya solat. Terngiang-ngiang pada telinganya apabila ustazah di sekolahnya memberitahu, perkara pertama yang bakal disoal di hadapan Allah kelak ialah solat. Kata ustazah, kalau urusan solat seseorang selesai, maka mudahlah perhitungan amal seterusnya.

Tapi kalau urusan solat pun tak selesai, mana mungkin amalan-amalan lain dapat membantu. Lantas seboleh mungkin Intan mahu melihat perubahan yang berlaku kepada kedua-dua ibu dan ayahnya. Dia tak sanggup jika nanti ibu dan ayahnya dicampakkan ke neraka hanya kerana tidak solat.

Mereka sebenarnya baik, banyak tolong orang. Bahkan tidak pernah lokek untuk membantu mana-mana orang susah. Cuma satu, solat yang menjadi kewajipan umat Islam sering kali diabaikan. Bukan Intan tak pernah mengajak ibu dan ayahnya untuk solat. Tapi pelbagai alasan juga diberikan. Uzur adalah alasan utama ibunya, manakala ayahnya berkata, dia jahil sebab dari kecil tidak pernah diajar untuk solat oleh kedua-dua orang tuanya.

Intan menawarkan diri untuk mengajar. Tapi sering kali ditolak dengan kata-kata, “Aku ni dah terlambat. Umur pun dah lanjut. Kalau aku solat sekarang pun, mana mungkin Allah mengampunkan aku. Lagipun aku malu. Belajar solat ni hanya pada usia kanak-kanak dan bukannya dah tua bangka baru nak bertanya tentang solat,” kata ayahnya dengan ego yang tinggi.

Intan terus memujuk. Adakala Intan mengajak ayahnya untuk menjadi imam kepadanya dan ibunya. Dan seperti biasa, ayahnya akan menolak.

Kepada ibunya, duit belanja sekolah yang dikumpulkan, dibelikan sepasang telekung baharu. Mudah-mudahan hati ibunya akan terbuka untuk solat. Tapi sama seperti ayahnya, ibunya terus mengelak. Telekung yang diberikan Intan masih tersimpan rapi dalam almari baju, masih tidak berbuka balutan plastiknya!

Intan takut, kalau diberitahu banyak kali, nanti akan mendatangkan kemarahan mereka berdua. Tapi kalau tak diingatkan, mereka akan terus lalai. Intan tahu sebagai anak tunggal dalam keluarga, tiada siapa yang dapat mengubah sikap kedua-dua ibu dan ayahnya.

Dia perlu kuat. Intan mahu ayah dan ibunya tahu bahawa dia tidak sanggup melihat kedua-duanya diseksa di akhirat kelak. Adakalanya Intan merasa putus asa. Memanglah kubur masing-masing dan setiap orang akan bertanggungjawab terhadap amalan masing-masing. Tapi sanggupkah seorang anak membiarkan ibu dan ayahnya dilemparkan ke neraka hanya kerana tidak solat walhal mereka orang yang baik.

Pandangan kaunselor

Sebagai Muslim yang mengaku beriman kepada Allah, perintah solat sama sekali tidak boleh diabaikan. Kewajipan bermula sejak mula baligh hinggalah ke akhir hayat itu, akan menjadi penentu di mana letaknya diri kita di sisi Allah.

Hari ini, ramai orang tahu bahawa solat itu wajib tapi ramai juga yang tidak melakukannya. Kalau ada pun hanya dua kali setahun iaitu, solat Aidilfitri dan Aidiladha. Tidak kurang juga yang hanya solat pada hari Jumaat. Manusia hilang rasa malunya kepada Allah yang mencipta mereka dan memberikan limpahan rezeki tapi ramai yang tidak mahu sujud kepada-Nya.

Islam secara jelas menyebut, andai pada usia 10 tahun, anak-anak yang tidak solat boleh dirotan oleh ibu bapanya sebagai satu bentuk pengajaran, apatah lagi bagi yang berusia lebih daripada itu.

Apa pun, rotan dalam Islam bukan untuk menghukum. Sebaliknya bertujuan mendidik dalam usaha membentuk sahsiah diri terpuji. Yang pasti, kekuatan melakukan ibadah solat sudah tentu bermula daripada hasil didikan, bimbingan dan suruhan ibu bapa kepada anak-anak.

Sumber: Utusan