Ditohmah "Musuh" Islam, Dr Maza Pertahan Dr Zakir Naik


KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin adalah antara berpuluh-puluh tokoh agama dan pemimpin di Malaysia yang mempertahankan pendakwah terkenal dari India, Dr. Zakir Naik.

Beliau dengan tegas menolak dakwaan jahat yang ditohmah oleh musuh-musuh Zakir bahawa pendakwah tersebut menyebarkan ideologi pengganas menerusi siri syarahan mengenai Islam disampaikannya di seluruh dunia.

Ini susulan laporan media antarabangsa yang menyatakan bahawa Zakir menjadi motivasi kepada ramai militan termasuk yang bertanggungjawab atas serangan berdarah di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh pada minggu lalu.

Mufti Perlis itu berkata dalam catatan menerusi laman Facebooknya pada 8 Julai bahawa beliau tidak mendapati Zakir menyebarkan mesej pengganasan dalam syarahan-syarahan beliau selama ini termasuk di Malaysia.

“Secara peribadi ada perkara yang saya setuju dan ada juga saya tidak setuju dengan pendekatan DZN. Namun, menyifatkan beliau sebagai seorang yang menggalak keganasan adalah sesuatu yang tidak benar,” kata Mohd. Asri.

“Saya sudah mendengar banyak syarahan beliau dan saya tidak rasa begitu,” kata beliau mengulas gesaan beberapa ulama India yang mahu Zakir diharamkan daripada berceramah kerana didakwa menyemai semangat pengganas.

Pada 1 Julai, lima lelaki bersenjata menyerbu sebuah kafe elit di kawasan diplomatik Dhaka dan membunuh 22 orang bukan Islam termasuk warga asing sebelum berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan Bangladesh.

Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas insiden itu walaupun pihak berkuasa Bangladesh menyatakan ia adalah angkara kumpulan militan tempatan terkenal, Jamaat-ul-Mujahideen yang diasaskan sejak 1998.

Zakir bagaimanapun tidak asing kepada kontroversi. Pada 2012, beliau dilarang memasuki Kanada dan Britain selepas disalah faham sebagai menyokong kumpulan pengganas al-Qaeda dan pengasasnya Osama bin Laden.

Namun, beliau disanjung tinggi di Malaysia sehingga diberikan Anugerah Personaliti Unggul Antarabangsa Tokoh Ma’al Hijrah pada 2013 oleh Yang Dipertuan Agong ketika sambutan awal Muharam peringkat kebangsaan itu.

Pihak berkuasa Malaysia juga membenarkan syarahan beliau diadakan pada April lalu walaupun dibantah beberapa kumpulan pelampau tertentu hanya kerana bimbang ramai bukan Muslim tertarik dengan keindahan Islam.

Para penyokong Zakir di Malaysia berpendapat beliau tidak sepatutnya disalahkan atas tindakan kumpulan militan yang melancarkan serangan maut di Dhaka kerana komen beliau mengenai pengganasan diambil di luar konteks.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Zakir tidak pernah menyuarakan sokongan kepada pengganasan dan beliau sebaliknya menuduh kumpulan militan yang menyalah tafsir pencerahan Zakir mengenai Islam.

Turut mempertahankan Zakir termasuk Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; pengasas Muslim Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung dan kumpulan Melayu berhaluan kanan Perkasa.

Dalam satu video yang disiarkan menerusi laman web Peace TV pada 8 Julai, Zakir sekali lagi menolak dakwaan bahawa konon beliau menjadi inspirasi atau menyokong pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.

“Jika anda mendengar syarahan-syarahan saya, anda akan dapati bahawa saya tidak menyokong pengganasan atau membunuh manusia yang tidak berdosa,” tegas beliau. – Agensi