Dividen, Bonus Khas Sebanyak 12% Untuk Ahli LTAT

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pemberian dividen dan bonus khas sebanyak 12 peratus untuk 2015 bagi 122,000 pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Beliau berkata LTAT memperoleh pendapatan sebanyak RM766.8 juta bagi tahun 2015.

Katanya, pemberian dividen dan bonus khas itu melibatkan pembayaran sebanyak RM694.1 juta dan ia akan diagihkan dalam masa terdekat.

“LTAT terus mencatatkan prestasi yang baik bagi memastikan pencarumnya iaitu warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat pelaburan yang optimum.

“Selain itu, saya turut meluluskan penambahbaikan skim gaji dan perkhidmatan serta pembayaran bonus sewajarnya kepada pegawai dan kakitangan LTAT untuk 2015,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra LTAT di sini, semalam.

Beliau berkata kebajikan anggota ATM dan veteran merupakan satu dari fokus dan hala tuju Kementerian Pertahanan untuk tahun ini.

Katanya, ia bagi memastikan setiap anggota dan veteran ATM mendapat pembelaan sewajarnya atas segala khidmat bakti yang mereka curahkan.

“Hala tuju dan agenda kementerian kini berada di landasan yang cukup baik,” katanya.

Pada majlis itu, Hishammuddin melancarkan Yayasan LTAT yang sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Warisan Perajurit (YWP) bertujuan menjenamakan semula serta mewujudkan identiti baru bagi yayasan itu. – BERNAMA