Donald Trump Harap Rusia Godam Emel Hillary Clinton


CLEVELAND – Donald Trump ‘secara aktif menggalakkan’ kuasa asing untuk menggodam e-mel pesaingnya Hillary Clinton, kata kem bekas setiausaha negara Amerika Syarikat (AS) itu.

Clinton tidak menyerahkan lebih 30,000 e-mel berkenaan sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan ke atas pelayan e-mel peribadinya kerana mengandungi butir-butir peribadi.

“Rusia, jika anda sedang mendengar, saya berharap anda dapat mencari 30,000 e-mel yang hilang itu,” kata Trump yang mewakili parti Republikan sebagai calon Presiden AS semalam.

“Saya rasa anda akan diberi ganjaran setimpal oleh akhbar kami.” Katanya, e-mel itu mungkin mengandungi sesuatu yang mengejutkan.

Beliau turut menulis di Twitter, jika sesiapa berjaya memperoleh e-mel berkenaan, mereka perlu menyerahkannya kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Gesaan itu dibuat selepas Rusia dituduh menggodam e-mel Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan (DNC) untuk manfaat Trump. Kedua-dua Rusia dan Trump menafikan dakwaan itu. – Agensi