"Double Standard": Ambiga Dibidas Tidak Logik


SEMENYIH - Pemuda MCA membidas Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), Datuk S Ambiga yang menggesa seluruh Kabinet supaya meletakkan jawatan berhubung Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat yang membuat saman sivil terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Chong Sin Woon berkata, Ambiga sepatutnya menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meletakkan jawatan terlebih dahulu berhubung dakwaan rasuah.

"Jangan amalkan 'double standard' (pilih kasih). Saman itu tidak pun menyasarkan Perdana Menteri, jadi tidak logik meminta seluruh Kabinet meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu program di Nirvana Memorial Garden di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Ambiga yang menggesa Kabinet meletakkan jawatan berhubung saman sivil berkenaan.

Chong menggesa Ambiga tidak terlibat dengan politik partisan, tetapi sebaliknya menggunakan pengaruhnya untuk kebaikan negara ini.

"Anda seorang yang dihormati tetapi gunakanlah kedudukan anda untuk menjadikan negara ini lebih baik. Jangan hilang tumpuan," katanya.

Sumber: mStar