Dr. Zakir Naik Sanggah Konon Galak Keganasan, Sedia Disiasat


MUMBAI - Pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik menyangkal laporan bahawa ceramahnya menggalakkan keganasan sekali gus bersedia untuk disiasat.

"Tuduhan mengatakan saya menggalakkan keganasan sama sekali tidak masuk akal. Tidak ada satu agensi penyiasatan pun yang mengatakan Dr Zakir Naik menggalakkan keganasan. Kementerian Dalam Negeri amat dialu-alukan untuk meneliti setiap ucapan saya," kata Naik kepada CNN-News18 melalui telefon.

"Saya memberi inspirasi kepada ramai orang kerana saya mempunyai pengikut yang ramai. Mereka mungkin mendapat inspirasi dari saya tetapi saya tidak mengenali mereka secara peribadi. Saya bimbang dengan media dan ahli politik kerana mereka mungkin memburukkan imej saya. Ada orang menggunakan gambar dan salah memetik kata-kata saya untuk memfitnah saya. Saya mengalu-alukan sebarang siasatan terhadap diri saya," katanya.

Zakir, yang juga Presiden Yayasan Penyelidikan Islam berpangkalan di Mumbai (IRF), turut menafikan pernah berkata, semua umat Islam perlu menjadi pengganas sambil menjelaskan video yang didakwa menunjukkan beliau berkata demikian dipalsukan.

Pendakwah kontroversi itu memberi reaksi kepada laporan Bangladesh bahawa dua daripada pengganas Rohan Imtiaz dan Nibras Islam yang menetak mati 20 orang di restoran Holey Artisan Bakery mendapat ilham daripada beliau.

Menteri Negara (MOS) untuk hal ehwal Dalam Negeri, Kiren Rijiju berkata, agensi penyiasatan sedang meneliti ceramah Zakir. - Agensi