Gajah Jantan Liar Dipindah Ke Hutan Simpan Royal Belum

Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil ukuran badan gajah jantan yang berjaya ditangkap di Kampung Perah yang terletak kira-kira dua kilometer dari Bandar Gerik, Isnin. Gajah seberat tiga tan dan 2.4 meter tinggi itu dipindahkan ke Hutan Simpan royal Belum oleh anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang. Gajah tersebut ditangkap pada 20 Julai lepas selepas menceroboh beberapa buah kampung antaranya Kampung Bersia, kuala Kenderong, Kuala Rui dan Perah. -foto; BERNAMA
GERIK - Seekor gajah jantan liar berumur lebih 30 tahun yang ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Rabu lepas, dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum Isnin.

Gajah yang dinamakan 'Awang Perah' itu dipindahkan selepas diberi ubat pelali dan diapit keluar dari Kampung Perah di sini bersama dua ekor gajah denak betina dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh.

Kala dan Rambai menjinakkan gajah jantan itu dengan aksi tersendiri, sebelum haiwan liar itu berjaya dinaikkan ke atas lori khas dari kawasan kampung itu.

Operasi yang diketuai Ketua Unit Gajah PKGK Nasharuddin Othman itu, melibatkan 25 anggota Perhilitan Perak dan PKGK.

Nasharuddin berkata pihaknya menerima laporan daripada penduduk kampung bahawa gajah ini telah berkeliaran hampir ke hentian Perah iaitu kawasan tumpuan orang ramai.

"Gajah jantan liar ini didapati memusnahkan tanaman penduduk seperti pokok pisang di Kampung Perah sejak beberapa bulan lalu dan berkeliaran di kawasan-kawasan utama," katanya.

Beliau berkata sekiranya ternampak gajah berkeliaran di kawasan kampung, penduduk dinasihatkan supaya tidak membuat tindakan sendiri, sebaliknya melaporkannya kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut.

"Penduduk kampung anggap haiwan ini jinak dan membuat tindakan sendiri. Apabila membuat tindakan sendiri haiwan ini akan rasa terancam dan bertindak balas, ia membahayakan penduduk kampung," katanya.

Dalam pada itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Temengor Salbiah Mohamed menyarankan supaya kerajaan negeri mengambil langkah yang sewajarnya termasuk menambah pagar elekrik di sekitar kampung bagi mengekang gajar liar berkeliaran dan mengancam keselamatan penduduk.

Selain itu, katanya kerajaan negeri diminta melihat semula cadangan untuk mewujudkan Pusat Santuari Gajah di kawasan Lebuh Raya Timur Barat, Gerik-Jeli untuk menempatkan haiwan itu.

"Selain dapat menyelesaikan isu gajah yang dibangkitkan oleh penduduk, pusat ini juga dapat dijadikan sebagai (lokasi) eko pelancongan," katanya. -Bernama