Harga Ayam Di Kedah Terkawal, Bekalan Cukup - KPDNKK


SUNGAI PETANI - Harga ayam proses yang dijual kepada pengguna di Kedah masih terkawal, malah tiada sebarang aduan daripada pengguna berhubung kenaikan harga atau kekurangan bekalan ayam diterima.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Shahrudin Hamzah berkata harga runcit bagi ayam proses di seluruh Kedah adalah sekitar RM8.50 sehingga RM9 sekilogram.

"Kita melakukan pemantauan pada setiap hari dan dari segi harga tiada peniaga yang menjual pada harga melebihi RM9 bahkan bekalan juga mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Setakat ini tiada aduan diterima daripada pengguna walaupun harga runcit semasa didapati naik berbanding harga sewaktu skim kawalan harga dibuat, RM7.90, namun kita juga dapati ada peniaga yang menawarkan harga ayam di bawah harga RM8.50 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPDNKK Cawangan Sungai Petani, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua KPDNKK Cawangan Sungai Petani, Sha'arani Miskat.

Dalam pada itu, Shahrudin turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ayam secara keterlaluan dan mereka boleh kenakan tindakan termasuklah diberikan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, sekiranya ingkar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shahrudin menasihatkan pengguna agar memanfaatkan mesin penyemak harga yang disediakan di pasar raya besar sebelum membuat bayaran di kaunter bagi mengelakkan pengguna tertipu antara harga yang dipamerkan dan harga sebenar.

"Terdapat kes yang berlaku, yang mana pengguna membeli barangan basah, harga yang dipamerkan ialah RM11.99 namun pengguna perlu membayar RM14 sewaktu tiba di kaunter bayaran.

Mungkin nilai ini dilihat kecil tetapi itu hak sebagai pengguna, dan kita perlu lihat situasi sekiranya pengguna membeli dalam kuantiti yang banyak," katanya.

Katanya, pihak yang melakukan kesalahan seperti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan mungkin berdepan dengan tindakan mahkamah sekiranya kesalahan berulang. - BERNAMA