Hasrat Dr Vida Miliki "F 1" Tak Kesampaian, Sultan Johor Menang


PUTRAJAYA - Hasrat Pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmizah Othman, untuk memiliki nombor pendaftaran "F 1" tidak kesampaian apabila  Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menang bidaan ke atas nombor istimewa yang menjadi rebutan ramai.

Pemerintah negeri Johor Darul Takzim itu memenangi bidaan tersebut dengan nilai RM836,000.

Dr Hasmizah yang turut dikenali sebagai Dr Vida itu sebelum ini meluahkan minat untuk memastikan nombor pendaftaran "F 1" menjadi miliknya bagi digunakan di kereta mewah, Ferrari.

Menurut jutawan kosmetik itu, F merujuk kepada Ferrari dan nombor 1 membawa maksud beliau sentiasa mahu menjadi orang pertama dalam mencetuskan sesuatu.


Nombor plat F2 pula merupakan bidaan kedua tertinggi iaitu dengan nilai RM514,800; F9 (RM414,800) dan F7 (RM396,00).

Bahagian Pelesenen Kenderaan Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengumumkan pemenang bidaan bermula pada pukul 3 petang tadi.

Sebelum ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan nombor pendaftaran baharu kenderaan untuk Putrajaya ‘F1’ mampu dijual melebihi RM1 juta.

Menurut bekas Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad, mereka tidak menetapkan sebarang jumlah bidaan tertentu dan ianya terbuka kepada semua.

Pada 19 Mei lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi telah mengumumkan bahawa semua kenderaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menggunakan nombor plat pendaftaran yang bermula daripada abjad ‘F’ dan ‘V’. -Kedahnews.com