Hati Adira Terguris, Tapi Tidak Berdendam Pada Ruhainies

WALAUPUN suaminya, Datuk Seri Adnan Abu dikaitkan kontroversi dengan seorang pelakon baharu, Ruhainies, namun penyanyi Adira Suhaimi tidak langsung menyimpan dendam terhadap pelakon tersebut.

Malah mengenai video aksi mesra suaminya dan Ruhainies, Adira hanya menyerahkan kepada yang terlibat untuk menyelesaikannya.

Memetik Berita Harian, Adira berkata, “Hati isteri mana yang tidak emosi berhadapan insiden sebegini. Sejujurnya saya terguris dan meminta ruang untuk menenangkan fikiran. Saya tidak mahu membuat kenyataan dalam keadaan marah.”

“Apa pun saya tidak menyimpan dendam terhadap Ruhainies kerana dia sudah menjelaskan perkara sebenar. Mengenai video itu, biarlah mereka menyelesaikannya sendiri.

“Cuma diharap jangan kaitkan video berkenaan dengan rumah tangga saya. Cukup-cukuplah dengan kenyataan demi kenyataan. Sepatutnya hal dalaman keluarga diselesaikan secara berbincang. Tidak perlu dihebahkan kepada orang luar,” katanya.


Dalam pada itu, Adira turut mengakui bahawa dia kini sedang hamil berdasarkan pemeriksaan kit kehamilan yang dilakukan di rumah.

“Memang benar saya kini hamil dua minggu. Tetapi saya belum dapat pengesahan doktor sebaliknya hanya mengagak usia kehamilan berdasarkan kiraan sendiri. Ujian pun saya buat sendiri selepas membeli kit kehamilan,” ujar penyanyi berusia 25 tahun itu.

Minggu lalu kecoh dengan penyebaran sebuah video memaparkan aksi mesra suami Adira yang dikenali sebagai Dato Red dengan Ruhainies di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur.

Adira merupakan isteri kedua Dato Red yang dinikahinya pada 3 Disember lalu di Songkhla, Thailand selepas beberapa bulan berkenalan. –Kedahnews.com