Hilang Sabar, Isteri "Lelong" Suami Curang Harga RM4..!


MUNGKIN kerana terlalu geram dengan perangai suaminya, seorang wanita bertindak melakukan sesuatu yang di luar kotak untuk menyedarkan lelaki itu – dengan ‘menjual’nya di aplikasi jual beli OfferUp!

Wanita yang hanya dikenali melalui nama penggunanya, Amanda, itu ‘menjual’ suaminya dengan harga runtuh iaitu $1 (RM4) sahaja.

Dalam ruangan deskripsi ‘barangan’ yang ditawarkan itu, Amanda menyatakan bahawa suaminya itu seorang: “Penipu, kaki perempuan, suka menggunakan orang lain. Bagus hanya untuk bermalasan di sofa, atau menghabiskan wang orang lain.”


Tidak cukup dengan itu, Amanda juga turut mendedahkan sikap buruk suaminya yang lain, termasuklah pemalas dan suka mendatangkan beban kepada orang lain.

“Penagih dadah, suami dan ayah yang tak berguna tapi hei, saya pasti ada wanita yang mahukan gaya hidup sebegini. Jadi dia amat dialu-alukan ke rumah anda. Dia tidak mempunyai kenderaan tetapi akan menghabiskan minyak kereta anda.”

Kemudian, Amanda menghabiskan sesi lepas geramnya itu dengan amaran berbaur sinis ini:

“Dia juga akan sumbat minda anda dengan janji manis bahawa hidup akan jadi lebih bermakna tetapi berhati-hati, kerana tak ada satu pun kebaikan yang boleh diharapkan daripada dia. :)”


Wanita itu turut memberikan 4 bintang untuk kondisi suaminya!

Mungkin tahap kesabaran Amanda telah dicabar hebat akibat sikap si suami yang hanya tahu ‘buat anak’ tetapi lepas tangan terhadap tanggungjawabnya yang membuatkan wanita itu bertindak sedemikian.

Namun, tindakannya dilihat agak tidak matang dan keanak-anakkan. - Kedahnews.com