Himpunan Derita Rakyat Isu Air Kedah: NGO Buat Laporan Polis


ALOR SETAR - Sebuah NGO, Kelab Belia Darulaman telah membuat satu laporan polis terhadap PAS Kedah yang berura-ura akan mengadakan sebuah himpunan di Kuala Nerang yang dijangka akan menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat negeri Kedah.

Presidennya, , Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Himpunan Derita Rakyat Isu Air Kedah itu juga sengaja dianjur bagi menyemai rasa benci rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA).

"Tindakan mengajak seluruh rakyat ke perhimpunan ini adalah satu hasutan yang nyata untuk menimbulkan kekeliruan dan menanam bibit kebencian kepada kerajaan dan pihak operator pembekal air yakni SADA," kata Syed Mohd Johan Rizal.

Sedangkan katanya, Kerajaan Negeri telah pun menubuhkan sebuah jawatankuasa khas pada 12 Julai lalu bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh melalui jangka pendak dan jangka panjang melalui kerjasama pelbagai pihak.

Jelasnya lagi, SADA juga turut bertungkus-lumus memainkan peranan ketika Aidilfitri yang lalu dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air yang digembar-gemburkan rakyat Kedah sebelum ini.

"Isu ini hanya melibatkan 7.3% dari keseluruhan 566,121 ribu pemegang akaun SADA.

Usaha konkrit juga sudah dilakukan oleh SADA sepanjang musim perayaan lalu menerusi penghantaran bekalan lori air yang mengalami tekanan air yang rendah dan terputus bekalan ke kawasan memerlukan dengan sejumlah 584 trip lori, melibatkan 2,124,000 liter air sehari ke 2225 buah kampong dan kawasan perumahan di 12 buah daerah di Kedah," ujar beliau.

Justeru itu katanya, PAS Kedah tidak wajar untuk menghasut rakyat dan cuba memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dengan persepsi tidak benar.

"Justeru tindakan pihak PAS dan Dewan Pemuda PAS menguar-uarkan usaha mengajak rakyat Kedah ke perhimpunan ini menerusi hebahan poster di laman fb dan tempat-tempat awam yang lain adalah satu usaha berniat jahat, cubaan melakukan fitnah jenayah terhadap pihak pentadbiran kerajaan selain cubaan melakukan penyelewengan fakta seolah-olah 2.1 juta rakyat Kedah sedang terkesan dengan isu ini," katanya dalam kenyataan tersebut.

Syed Mohd Johan Rizal turut membuat satu laporan polis di IPD Kota Setar dan mengesa pihak berkuasa menghalang himpunan yang dianjurkan PAS Kedah bersama sebuah NGO, Sahabat Air Kedah. 

Turut sama senada membuat laporan polis berkenaan adalah 12 lagi NGO mewakili Kelab Amal Ketuanan Melayu Kedah, Gerakan Belia 4B Alor Setar, BN Youth Volunteer (BNYV), Persatuan Siswa Kedah ANSAR, Skuad MIC Kedah, Persatuan Pengguna Kedah, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Kedah (Pekida) dan lain-lain. -Kedahnews.com