Hina P. Ramlee, David Teo Digesa Mohon Maaf


Sebelum ini, David Teo ada mengeluarkan kenyataan yang mendakwa kehidupan seniman P. Ramlee berakhir dengan kemiskinan dan dia tidak mahu pelakon yang dilahirkan olehnya mendapat nasib yang sama seperti P. Ramlee.

Menurut David Teo, dia mempunyai visi dan misi tersendiri iaitu melahirkan pelakon yang disegani ramai dan menjadikan mereka jutawan suatu hari nanti.

Walau bagaimanapun, Persiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi menyifatkan perkara itu sebagai perkara yang biadap dan kurang ajar.

Justeru, Zed mendesak David Teo memohon maaf kepada keluarga P. Ramlee dan seluruh seniman, seniwati dan artis-artis di Malaysia.

“Adakah anda tahu kebanyakan filem yang dikeluarkan oleh produksi anda mempunyai mutu yang tidak berkualiti langsung berbanding filem-filem semasa zaman P. Ramlee?

“Adakah anda tahu banyak universiti masih lagi mengkaji mengenai filem-filem P. Ramlee sebagai rujukan kerana mempunyai nilai budaya dan mesej yang sangat kaya?

“Kreativiti tidak boleh dinilai oleh wang ringgit. Adakah anda tahu semua itu, David Teo?” tulis Zed dalam satu kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Tegas Zed, walaupun P. Ramlee tidak dilimpahi kemewahan hidup ketika di akhir hayatnya namun karya seniman tersebut sentiasa segar sepanjang zaman dengan mesej yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton sehingga hari ini. -Kedahnews.com