Produser dan diva industri hiburan tanahair, Erma Fatima memohon maaf secara terbuka gara-gara penyampaian dialog para pelakon dalam drama popular, "Mak Cun" dikritik orang utara dan dikatakan telah merosakkan loghat kawasan itu.
Pengarah itu menjelaskan bahawa beliau sedar tentang kritikan dan ketidakpuasan hati orang utara khususnya di Kedah tentang penggunaan loghat utara di dalam drama tersebut, namun pihaknya tetap komited memperbaikinya pada masa akan datang.
"Saya faham, orang utara mesti marah. Minta maaf la nooo.. sebab kami ni memang bukan orang utara. Yang penting kita naikkan nama Kedah, nama Kodiang.
"Kalau nak harap kita ambil kelas bahasa utara tu memang tak bolehlah kot... Sekadar drama ja...
"Kritikan, kutukan, komen itu adalah makanan rutin, bagi saya kalau yang baik saya terima, tapi kalau sekadar saja-saja nak komen tak bersebab tu kita buat tak dengar sajalah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Erma, ibu mertuanya adalah orang pertama yang memperbetul dan menegurnya tentang penggunaan loghat utara dalam drama tersebut.
"Mak mertua saya punya (loghat) Kedah memang pekat, dialah orang pertama sekali memberi komen kepada bahasa saya... orang utara tak cakap lagu ni tak cakap lagu tu...
"Tapi takpalah nak buat macam mana.. buat sajalah.. lantak pi aih orang nak kata apa. Kita usaha untuk baiki kita punya bahasa Kedah ni," katanya bersemangat.
Jelas beliau lagi, drama "Mak Cun 2" menyaksikan beberapa penambahbaikan berbanding siri drama "Mak Cun" sebelumnya. -Kedahnews.com