Datuk Aznil Nawawi |
KUALA LUMPUR - Reda atas ketentuan Tuhan, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil menyambut lebaran bersama adik-beradik selepas pemergian ibu tersayang, Allahyarhamah Norbaiti Surur pada 27 Jun lalu.
Aznil teringat kenangan beraya bersama ibu biarpun sejak tiga tahun lalu, wanita kesayangannya itu hanya terlantar di katil.
"Raya kali ini dan akan datang, arwah ibu akan sentiasa ada dengan kami. Masa hayatnya sepanjang tiga tahun terlantar, ibu tak beraya macam orang lain. Dia hanya beraya di katil.
"Dalam tempoh itu juga, kami sudah diberi persediaan yang cukup untuk menerima kenyataan ibu akan meninggalkan kami. Arwah ayah sudah lama pergi dan sekarang ibu pula," katanya.
Aznil berkata, dugaan dan cabaran yang tinggal hanyalah pada dia dan adik-beradik yang masih hidup.
"Di sebalik semua itu, saya bersyukur ibu dicabut nyawanya pada 10 malam terakhir Ramadan. Siapa tahu mungkin juga malam itu adalah malam Lailatul Qadar," katanya.
Akui Aznil, pemergian ibunya dihadapi dengan terbuka tanpa sekelumit ralat dalam hati.
"Tak ada kurangnya atau ralat. Tak wujud situasi ibu tak sempat tengok saya berkahwin lagi atau sebagainya. Selama hayatnya, ibu sudah melihat perkembangan kejayaan saya.
"Cuma impian saya untuk ibu melihat empat cicitnya membesar tidak menjadi kenyataan. Ketika mereka lahir, ibu sudah mula terlantar sakit," katanya.
Aznil berkata, mengikut perancangan awal, dia dan adik-beradik lain mahu menyambut hari jadi ibu yang ke-90 yang kebetulan jatuh hari ini iaitu pada raya kedua.
"Pada mulanya, kita bercadang menyambut hari kelahiran ibu sehari lebih awal. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian apabila ibu pergi dulu," katanya.
Allahyarhamah Norbaiti meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, di sini pada jam 12.56 pagi 27 Jun lalu. Arwah meninggalkan tujuh orang anak, 17 cucu dan 4 cicit.
Sumber: BH Online