Ibu Di Kodiang Tiba-Tiba Bisu, Lumpuh

Maznah (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada Fatimah (dua, kanan) sambil diperhatikan Hasnah (kiri)
KODIANG – Seorang wanita sanggup mengabdikan diri menjaga ibu yang mengalami lumpuh dan bisu secara tiba-tiba sejak Februari 2015.

Hasnah Mahamood, 53, ketika menceritakan semula peristiwa itu berkata, ia amat mengejutkan seluruh ahli keluarga apabila ibunya yang selalu memberikan nasihat, bergurau senda dan tempat mengadu tiba-tiba tidak boleh bercakap dan bergerak.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika Fatimah Yusoff, 81, ingin bangun dari tidur untuk menunaikan solat subuh kira-kira jam 5.30 pagi.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata, tanpa kami duga. Sehari sebelum kejadian, ibu memang nampak sihat dan boleh berbual dengan kami macam biasa.

“Tiba-tiba pada pagi itu ibu tak boleh bangun, dia tak boleh bergerak, tak boleh berjalan dan tak boleh bercakap walaupun sedikit pun,” katanya kepada Sinar Harian.

Mereka yang menetap di Kampung Manggol Bongor, Megat Dewa, di sini, mengakui cuba menjalani pelbagai jenis rawatan untuk menyembuhkan semula sakit yang dialami ibunya itu.

“Saya sedih tengok keadaan ibu macam ini, kami rindu suara dia, nasihat dan ingin bergurau seperti sebelum ini. Saya rindu keadaan ibu yang boleh bercakap seperti ibu-ibu yang lain di luar sana.

“Saya harap insan-insan di luar sana hargailah ibu masing-masing, jaga mereka dan hargailah mereka selagi mereka masih ada dan berilah mereka perhatian sewajarnya,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lapan adik-beradik.

Hasnah berkata, sebanyak RM800 diperlukan untuk membeli kelengkapan harian, lampin pakai buang dan susu khas ibunya setiap bulan.

“Kami hanya bergantung kepada pendapatan suami yang tidak seberapa setiap hari. Kadang-kadang nak beli susu pun tak cukup duit. Kalau tak cukup duit nak beli susu yang berharga RM80 satu tin itu, kami terpaksa bagi ibu minum teh.

“Saya harap ada pihak tertentu yang sudi membantu kami walaupun sedikit khusus untuk membeli bekalan susu dan lampin pakai buang ibu. Itu sudah cukup memadai untuk ibu yang sedang sakit sekarang,” katanya.

Pelbagai kaedah rawatan juga digunakan sebagai usaha untuk menyembuhkan sakit yang dialami ibunya itu, termasuk mengurut secara tradisional.

Dengan kuasa ALLAH, ibunya kini sudah boleh bergerak sedikit demi sedikit.

“Alhamdulillah, walaupun boleh bergerak tapi ibu tetap masih tak boleh berjalan seperti biasa. Dia hanya boleh mengesot saja dari satu tempat ke satu tempat.

“Kami pun terpaksa ubah suai satu bilik khas di ruang tamu menjadikan sebagai tandas untuk memudahkan ibu bergerak. Selalunya saya akan bantu dia bergerak sebab tak sanggup lihat keadaan ibu macam itu,” katanya.

Meskipun Fatimah sudah boleh bergerak secara perlahan-lahan sejak Disember 2015, namun dia masih belum boleh bercakap seperti biasa dan hanya menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi dengan anak-anaknya.

Keperitan hidup keluarga berkenaan bagaimanapun mendapat perhatian Ketua Wanita Umno Bahagian Jerlun, Datuk Maznah Hamid yang turut menyalurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga berkenaan sempena menyambut Aidilfitri.

Sumber: Sinar Harian