"Ini Bukan Islam", Tegas Mohd Najib Razak


KUALA LUMPUR - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom di tiga bandar raya Arab Saudi, semalam.

Letupan turut berlaku di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah yang meragut nyawa empat pegawai keselamatan dan menyebabkan lima yang lain cedera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan Islam tidak melakukan perbuatan keji.

“Pagi ini, saya sekali lagi terkejut apabila menerima laporan letupan yang menggegarkan tiga bandar raya di Arab Saudi.

“Kita mengutuk perbuatan keji yang berlaku terutama di sekitar kawasan Masjid Nabawi di kota suci Madinah dan ini bukan Islam,” kata beliau melalui status laman Facebook peribadinya.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata serangan itu berlaku ketika orang ramai sedang menunggu waktu berbuka puasa.

Letupan di perkarangan Masjid Nabawi itu adalah yang ketiga dalam siri pengeboman bunuh diri di Arab Saudi semalam.

Dua lagi letupan masing-masing berlaku berhampiran Konsulat Amerika Syarikat di Jeddah dan kawasan penempatan Syiah Qatif.

Sumber: myMetro