#Islam: Amalan Ziarah Menziarahi Yang Semakin Pupus


ADA satu perkara yang kita ambil mudah ketika bulan Syawal ini iaitu amalan ziarah-menziarahi.

Kita sebagai umat Islam seharusnya memanfaatkan sebaiknya amalan ziarah-menziarahi sesama saudara-mara, jiran tetangga dan umat Islam. Amalan ini semakin pupus dan tidak kelihatan dalamkalangan generasi muda sekarang.

Kita bukan sahaja digalakkan untuk menziarahi sesama agama malahan sahabat dalam kalangan penganut agama lain. Ini bagi merapatkan lagi jurang antara anggota masyarakat berbilang kaum dan agama.

Agama Islam juga sangat menggalakkan umatnya memperbaiki dan mempertingkatkan ukhuwah dan ikatan tali silaturahim.

Firman Allah SWT; “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu,dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah Al Hujurat ayat 10.)

Amalan ini semakin diabaikan disebabkan beberapa faktor persekitaran dan pengaruh media.

Timbul rasa malas untuk menziarah saudara, rakan dan jiran mereka kerana rasa begitu selesa berada di rumah menonton pelbagai rancangan menarik yang dipaparkan di televisyen.

Selain itu, ada yang asyik melayan media sosial daripada keluar menziarahi saudara terdekat.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang besar bagi menggalakkan anak-anak mereka menziarahi saudara-mara supaya dapat mengenali sesama sendiri.

Jika perkara ini juga diambil mudah, tidak mustahil suatu hari kelak anak-anak yang sudah dewasa tidak kenal saudara mereka sendiri mahupun jiran tetangga yang berdekatan.

Jika kita tidak gemar menziarahi saudara-mara, bagaimana kita dapat mengenali mereka? Lebih-lebih lagi dengan kekangan waktu kerja membataskan aktiviti kita untuk mendekati saudara mara pada hari-hari lain.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam harus ada rasa tanggungjawab atas perkara ini sebelum amalan ziarah hilang ditelan zaman dan menjadi sesuatu yang pelik dalam kalangan generasi muda.

*EFFAH AMIRAH SABRI/Utusan