#Islam: Berjayakah Kita Berjimat Cermat Aidilfitri Ini?


RAMADAN datang lagi menjengah kita dengan sejuta kelebihan dan keberkatan. Bagi yang saban tahun menantikan kehadiran bulan mulia ini, pastinya merasa sangat gembira dengan kemeriahan pesta ibadah.

Menjelang penghujung Ramadan, detik yang dinanti-nantikan ramai orang ialah Hari Raya Aidilfitri malahan ada yang melebihkan Syawal daripada Ramadan.

Tidak kira sama ada mereka yang berada di kampung atau di bandar pastinya Hari Raya Aidilfitri diraikan meriah bersama keluarga yang tersayang terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Anak-anak akan meminta baju baharu, kasut baharu dan lain-lain lagi.

Pada masa yang sama, anda sebagai ibu bapa juga akan memikirkan mahu membeli barangan untuk juadah raya, perhiasan rumah, duit raya dan mungkin ada yang ingin menukar kereta baharu.

Keadaan seperti ini semestinya akan membebankan kewangan anda kerana banyak duit yang perlu dibelanjakan setiap kali menjelang raya.

Tuntutan berjimat-cermat bukan bermaksud kita tidak dibenarkan berbelanja tetapi perlu dititikberatkan adalah tatacara dan kaedah yang tepat untuk berbelanja secara berhemat.

Antara langkah penjimatan yang sering diabaikan adalah mengawal penggunaan kenderaan khususnya ketika pulang ke kampung dan menziarahi keluarga serta rakan.

Kawalan pemanduan dan kelajuan kenderaan pada had laju yang dibenarkan sebenarnya dapat menjimatkan penggunaan minyak petrol agar tahan lebih lama.


Elakkan daripada bergerak di waktu puncak untuk pulang ke kampung halaman kerana jalan raya pastinya sesak dengan kenderaan-kenderaan lain dan elak memandu secara melulu kerana perubahan laju secara mendadak membakar lebih banyak minyak.

Seelok-eloknya, rancang perjalanan anda dengan teliti dan elakkan daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Satu lagi cara yang mudah berjimat adalah menyediakan masa dan bajet untuk membuat kuih raya sendiri malahan boleh bekerjasama dengan rakan atau keluarga untuk membuat biskut raya bersama-sama.

Jika mahu membeli kuih raya, elakkan daripada membeli terlampau banyak kuih hingga akhirnya terbuang begitu sahaja.

Kebiasaannya anak-anak kecil akan meminta sesuatu yang di luar kemampuan dan bukan barang keperluan.

Sebaik-baiknya, libatkan anak-anak semasa proses membeli dan beritahu kepada mereka asas-asas tentang kedudukan kewangan anda serta mengapa terdapat barang-barang atau perkara yang boleh dan tidak boleh dibeli.

Ini akan membantu anak-anak memahami keadaan kewangan ibu bapa dan secara langsung mendidik mereka untuk bersabar dan tidak meminta barang atau perkara yang diinginkan sesuka hati.

Kita sepatutnya merancang awal perbelanjaan yang bakal dibuat. Buat persiapan seawal mungkin agar anda tidak berdepan dengan sebarang masalah bukan sahaja sebelum dan semasa raya malahan selepas hari raya.


Buat tabungan setiap bulan untuk hari raya agar anda tidak perlu terlalu bergantung kepada gaji mahupun kad kredit atau terpaksa berhutang semata-mata memastikan hari raya keluarga meriah.

Sempena hari raya, majikan biasanya akan memasukkan gaji lebih awal daripada biasa bagi membolehkan anda membeli kelengkapan raya.

Pastinya dahulu agihan perbelanjaan cukup untuk semua perkara termasuk pakaian, peralatan rumah dan juga perbelanjaan untuk perjalanan pulang ke kampung dan tidak dilupakan perbelanjaan selepas raya sehingga gaji berikutnya.

Harus diingatkan supaya tidak berbelanja untuk perkara yang tidak berfaedah kerana kadangkala kita terlalu leka untuk menyambut Syawal dengan meriah dan cantik sehingga membeli bermacam benda yang tidak diperlukan.

Apatah lagi jika berhutang menggunakan kad kredit sehinggakan kita terpaksa menanggung bayarannya selepas habis beraya. Kegembiraan hanya sementara kerana akhirnya terpaksa menanggung hutang yang tiada penghujung.

*MOHAMMAD AZMEER FARHAN MOHD ABDUL AZIZ, Universiti Sains Islam Malaysia/Utusan