Gambar Hiasan |
IA hanya alat dan bukannya matlamat. Itulah gambaran terbaik mengenai makanan dan minuman yang saban hari menjalankan tugasnya meneguhkan jasad manusia. Dalam mengecap kedua-duanya, lidah kadangkala mahu sedikit rasa manis, masam, masin dan tawar.
Walaupun ia sekadar rasa yang dikhayalkan oleh otak hasil maklumat dihantar lidah, manusia sanggup berhabis hanya untuk sedikit rasa itu.
Apa yang pasti, sedap hanya pada lidah. Apabila melepasi kerongkong ia bakal menjadi vitamin peneguh jasad atau penyakit perosak badan. Orang beriman makannya berpada.
Bahkan bulan Ramadan menjadi satu hadiah fizikal daripada Allah yang sangat istimewa kerana kita dilatih secara paksa untuk memahami bahawa perut adalah punca sakit dan sihat. Ia juga punca dosa dan pahala. Sekolah Ramadan seakan mendidik kita menghayati saranan Rasulullah SAW:
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya memberikan kekuatan kepadanya. Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan,” - Sunan Tirmizi.
Ketika meneliti surah al-Ahqaf utuk tadabbur tarawih malam ke-26 Ramadan, jiwa saya sebak sebaik sahaja membaca kisah para sahabat Rasulullah SAW yang mengekang nafsu mereka daripada terlebih bersedap dengan kehidupan duniawi. Firman Allah:
“Dan (ingatlah), semasa orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “kamu telah habiskan nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu dan kamu telah bersenang menikmatinya, maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik,” (al-Zukhruf [46:20]).
Imam al-Baghawi dalam tafsirnya menceritakan kisah jutawan sahabat Abdul Rahman bin Auf r.a. yang sangat menyentuh perasaan:
“Pada suatu hari, Abdul Rahman bin Auf yang sedang berpuasa dihidangkan makanan. Beliau yang terkenang para sahabat Rasulullah yang sudah wafat, lalu berkata: Mus’ab bin ‘Umayr telah gugur syahid (dalam perang Uhud) sedang dia itu jauh lebih baik daripadaku. Beliau dikafankan dengan sehelai kain (yang singkat) yang mana jika ditutup kepalanya akan terdedah bahagian kakinya. Jika ditutup bahagian kaki akan terdedah pula kepalanya. …. Begitu juga Hamzah gugur (dalam perang Uhud) sedang dia juga jauh lebih baik daripadaku. Tiada apa yang dapat digunakan untuk mengkafankan beliau melainkan sehelai kain sahaja. Kemudian (Allah) melapangkan dunia untuk kami, sedang kami risau kebaikan kami disegerakan kepada kami. Abdul Rahman kemudiannya menangis sehingga beliau meninggalkan makanannya,” (Tafsir al-Baghawi).
Sikap yang sama dapat dilihat pada Sayidina Umar ibn al-Khattab r.a.
“Jika aku mahu, aku boleh memakan makanan yang terbaik (berbanding kamu semua), memakai pakaian paling lembut. Akan tetapi aku risau kebaikan (dan kesedapan) mendahuluiku (di dunia berbanding akhirat). Kemudian diceritakan kepada kami bahawa Umar ketika baru tiba dari Syam, dihidangkan untuknya makanan yang (mewah) belum pernah dilihat sebelum itu. Umar lalu berkata: Ini (hidangan) untuk kami, apa pula (habuan) untuk orang Islam yang fakir dan gugur syahid. Mereka juga tidak sempat pun kenyang memakan walau sekadar roti gandum. Khalid bin al-Walid menjawab: Bagi mereka syurga. Mata Umar pun berlinangan dengan air mata,” (Tafsir al-Tabari).
Salah nikmati makanan lazat?
Maha Suci Allah! Alangkah halus dan waraknya hati para sahabat r.a. Lalu timbul soalan, adakah salah menikmati sesuatu yang enak dan sedap? Ia tak salah asal sahaja ia hanya dianggap sebagai alat dan bukannya matlamat. Allah tidak melarang keinginan untuk memenuhi rasa tersebut:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya, dan demikian juga benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang yang (mahu) mengetahui,” (al-A’raf [7:32]).
Pun begitu, lebih tepat ayat surah al-Ahqaf di atas sebenarnya ditujukan kepada orang kafir yang mewah bersedap di dunia sehingga melanggar segala arahan Allah. Mencari yang sedap dan enak tidak salah di sisi agama, cuma ia perlu dikawal agar tidak berlebihan.
Ini kerana orang yang terbiasa mencari kesedapan sukar mengawal nafsu, lantas desakan mencari kesedapan boleh mendorongnya melanggar batasan agama lalu ia menjadi sebab jauhnya dia daripada Allah (Tafsir al-Razi).
Berlebihan dalam mengisi tembolok perut bukan sahaja mengundang penyakit tetapi bukan sifat orang beriman sebagaimana kisah hadis ini:
“Nafi’ menceritakan bahawa Abdullah ibn ‘Umar RA tidak akan makan melainkan jika ada seorang miskin yang boleh menjadi temannya makan. Pada suatu hari aku (Nafi’) menjemput seorang lelaki (miskin) masuk makan bersamanya (Abdullah bin Umar) lalu lelaki tersebut makan dengan banyak sekali. Melihat (buruknya sifat) lelaki tersebut, Abdullah berkata: Wahai Nafi’ janganlah dijemput dia ini makan bersamaku lagi (pada kali yang lain) kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman makan dalam satu hidangan, manakala orang kafir pula makan dalam tujuh hidangan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
Ya Allah! Kurniakan kami rasa zuhud (rasa berpada dan cukup) pada dunia sebagaimana zuhudnya para sahabat Rasulullah SAW. Sempurnakanlah nikmat kami di akhirat kelak.
Sumber: Utusan