DEWASA ini kemunculan beberapa kumpulan yang berasaskan konsep jihad melalui pendekatan ‘jihad al–Qital’ (jihad secara peperangan) telah menyebabkan persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Islam menjadi negatif dan membawa kepada Islamophobia dan Jihadofobia.
Ideologi ini sedikit sebanyak telah didokong oleh sebahagian ulama sementara sebahagian besar yang lain menentangnya.
Perkataan jihad berasal dari suku kata Arab ‘jahada’ atau ‘jahdun’ yang bererti usaha atau ‘juhdun’ yang bermaksud kekuatan. Secara literal, jihad bermaksud mengeluarkan segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini atau yang diiktikad sebagai jalan yang benar.
Menurut Ibnu Abbas, salah seorang sahabat Rasulullah SAW, jihad itu bererti “mencurahkan segenap kekuatan tanpa rasa takut untuk membela Allah terhadap cercaan orang yang mencerca dan permusuhan dengan orang yang memusuhi”.
Kefahaman jihad bagi seseorang Islam akan membuatkan mereka rela untuk berkorban apa sahaja termasuk harta dan nyawa bagi membela agama. Ini kerana bagi seorang Mujahid iaitu sebutan bagi orang berjihad, kemuncak bagi usaha jihad mereka adalah untuk mati syahid dan dijamin memasuki syurga.
Menurut Ibnu Taimiyyah ulama kontroversi Turki, pengertian jihad amat luas bermula dari mencari nafkah untuk keluarga hinggalah kepada berperang menentang kaum Kuffar yang memerangi Islam. Dari istilah syariat, jihad itu bererti mengerahkan seluruh daya kekuatan memerangi orang kafir dan pemberontak yang menentang Islam. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka kerana(menegakkan dan mempertahankan) agama Allah dan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh”. -surah al-Baqarah ayat 190.
Qital dari segi literalnya bermaksud peperangan atau pertempuran. Ini bermaksud seseorang manusia itu berjihad dengan mengangkat senjata bagi menewaskan tentera musuh yang menceroboh wilayah yang dimiliki atau diduduki oleh orang Islam.
Sejarah jihad wal-qital selepas zaman Rasulullah dan Khulafa ar-Rasyidin bermula dengan Perang Salib pertama apabila tentera salib berjaya menawan kota Jurusalem atas seruan jihad oleh Pope Urban II dan mengusir keluar tentera Turki Seljuk dari wilayah berkenaan. Ini diikuti dengan Perang Salib kedua di mana tentera pimpinan Salahuddin al- Ayubi berjaya mempertahankan Mesir dan Syria dan menawan semula Jurusalem.
Sementara itu, Perang Salib ketiga berlaku apabila King Richard I atau digelar Richard The Lion Heart dari England dan King Philip II dari Perancis bersatu tenaga bagi menawan semula kota Jurusalem dari Salahuddin al-Ayubi.
Peperangan yang paling banyak menumpahkan darah ini berakhir dengan perjanjian damai antara Salahudin dan King Richard I di mana menurut perjanjian itu, orang Islam akan terus berkuasa ke atas kota suci Jurusalem sementara jemaah Kristian yang tidak bersenjata dibenarkan menziarahi kota suci berkenaan.
Perang Salib kelima membawa kepada penawanan Kota Konstantinople (Istanbul) dan penubuhan negara-negara Kristian di Balkan. Dalam Perang Salib keenam pula tentera Salib berjaya memerintah Jurusalem selama 15 tahun. Perang Salib ini berterusan hingga Perang Salib yang kesembilan yang berakhir dengan kehancuran tentera Mamluk dan pengepungan Tripoli dan Lebanon dan disusuli dengan perjanjian damai.
Perebutan kota suci Jerusalem berterusan antara rejim Israel dan Palestin berlaku apabila rejim tentera Israel menawan Jerusalem Timur pada peperangan Six-Day War 1967 dan perebutan wilayah melibatkan Bukit Golan, Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan berakhir dengan perjanjian damai yang melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sejak itu lahirlah pelbagai gerakan jihad seperti Hisbullah di Lebanon, PLO, al-Fatah, Hamas di Palestin dan sebagainya.
Sementara itu, gerakan jihad yang dilabelkan oleh PBB sebagai pengganas tumbuh bagaikan cendawan dan jumlah yang diwartakan adalah sebanyak 161 pertubuhan. Ini termasuklah beberapa pertubuhan yang mempunyai rangkaian antarabangsa seperti al-Qaeda, kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria dan Boko Haram di Nigeria.
Bagi mengekang perasaan prejudis masyarakat bukan Islam kepada umat Islam yang sering dilabelkan sebagai pengganas, maka adalah menjadi kewajipan untuk golongan ulama untuk mengeluarkan fatwa-fatwa yang mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan aktiviti keganasan.
Banyak ayat al-Quran disalah tafsirkan bagi menghalalkan kegiatan keganasan dan menyebabkan golongan muda terpengaruh sebagai jalan pintas untuk ke syurga. Islam amat melarang umatnya membunuh diri apatah lagi sebagai pengebom berani mati yang mana korban pengeboman itu juga melibatkan orang Islam.
Salah satu lagi cara untuk mengelakkan golongan muda daripada terjebak kepada aktiviti keganasan ini adalah melaksanakan budaya wassatiyah seperti mana yang dilaksanakan oleh kerajaan hari ini melalui penubuhan Institut Wassatiyah. Pelaksanaan budaya hidup kesederhanaan ini mampu melahirkan masyarakat yang berfahaman sederhana dan mengekang budaya radikalisme dan fundamentalisme dari bertapak dalam masyarakat.
Penubuhan lebih banyak lagi pusat pemulihan akidah bagi memperbetulkan pemahaman anak muda mengenai konsep jihad ini amatlah perlu selain pemantauan pihak berkuasa atas kemungkinan penyemaian bibit-bibit radikalisme dalam silibus pengajaran di mahaad-mahaad tahfiz, sekolah pondok, markas tarbiyah parti politik berteraskan Islam dan sebagainya.
Pihak polis melalui Bahagian Anti Keganasan perlu lebih proaktif dalam menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ancaman terrorisme sama ada dari dalam atau luar negara. Kerajaan juga perlu lebih banyak mengeluarkan pengumuman awam iaitu iklan-iklan pendek di media elektronik dan media sosial tentang pentingnya sikap bertoleransi dan hidup saling menghormati antara masyarakat berbilang agama.
Salah satu cara untuk mengekang budaya radikalisme dari menyerap di dalam masyarakat adalah dengan sentiasa ingat mengingati melalui pendidikan formal, ceramah, tazkirah di masjid dan surau serta melalui kempen secara komprehensif. Mereka yang terbakar semangatnya dengan dakyah-dakyah jihad ini perlu didekati. Dengan adanya iltizam politik yang kuat maka segala usaha untuk mengekang penyebaran dakyah jihad al-Qital ini pasti akan berjaya.
*ANUAR AHMAD, PENULIS ialah Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia/Utusan