#Islam: Memahami Tuntutan Menutup Aurat


BARU-BARU ini hangat isu wanita memakai shawl lebih cantik berbanding tudung bawal sedangkan isu seperti itu tidak sepatutnya dijadikan perdebatan kerana menutup aurat itu lebih penting di sisi agama berbanding jenis tudung.

Menutup aurat itu telah difardukan kepada semua umat Islam, baik lelaki dan wanita. Tuntutan menutup aurat bagi lelaki adalah antara pusat hingga ke lutut, manakala aurat wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali kedua-dua tapak tangan dan muka.

Sesetengah individu terutama golongan wanita beranggapan mereka sudah menutup aurat dengan baik apabila memakai tudung di kepala.

Sedangkan pakaian yang dipakai masih tidak menutup aurat seperti berseluar dan berbaju ketat hingga menampakkan bentuk tubuh, pakaian nipis, kain terbelah dan pendek serta meninggikan sanggul rambut seperti bonggol unta. Hakikatnya dalam Islam, kesemua fesyen yang dinyatakan itu menyerupai fesyen zaman jahiliah.

Tuntutan menutup aurat ini tidak boleh dipandang ringan dan keengganan seseorang mempedulikan syariat Islam itu adalah satu dosa besar serta dianggap telah melakukan penderhakaan terhadap perintah-Nya dan tidak akan masuk syurga sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Akan muncul sekelompok umatku di akhir zaman kelak daripada kalangan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok dan di kepala mereka terdapat seperti punuk unta yang miring, wanita seperti ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium bau syurga walaupun bau syurga itu dapat di cium sejauh jarak 70 ribu perjalanan.” - Riwayat Bukhari.
Kesedaran tanggungjawab menutup aurat harus bermula daripada individu bahawa menutup aurat satu bentuk ketaatan kepada Allah SWT yang tidak boleh ditangguhkan kewajipan untuk melaksanakannya.

Sumber: Utusan