Isu Air: "10 Kali Telefon Tak Angkat, Pusat Aduan Apa Macam Tu?" - MB Kedah


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah mengingatkan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) supaya lebih bertanggungjawab dalam menjawab aduan dari rakyat Kedah dan memastikan masalah yang diajukan itu diselesaikan seberapa segera mungkin.

Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegur Pusat Aduan SADA yang sering menjadi rungutan rakyat Kedah yang mengadu tentang gangguan bekalan air di kawasan mereka, namun tidak mendapat reaksi yang sepatutnya.

"Pastikan kalau aduan.. Pusat Aduan (SADA).. mesti dijawab.. ni 10 kali telefon tak angkat.. Pusat Aduan apa macam tu?

"Pastikan mesti dilayan aduan tu.. lepas tu tindakan segera.. saya dah mengarahkan semalam dalam mesyuarat Exco (Kerajaan Negeri Kedah), saya tahu memang ada rungutan di banyak tempat..." tegas Ahmad Bashah memberi peringatan kepada Pusat Aduan SADA, di sini, pagi ini.

Justeru itu, Menteri Besar telah mengarahkan pihak SADA supaya memastikan rakyat Kedah mendapat bekalan air yang lebih baik khususnya pada Aidilfitri ini, termasuk dengan mengeluarkan peruntukan menambah bilangan tangki-tangki air statik di beberapa kawasan strategik yang menghadapi masalah gangguan bekalan air.

"Saya juga minta pihak SADA supaya pastikan kontraktor yang diberi (tanggungjawab) menjalankan tugasnya.

"Mesti pegawai SADA kena pantau..bukan boleh lepas tangan begitu saja," tegasnya lagi.

Sebagai contoh katanya, pihak kontraktor yang dilantik SADA perlu menyalurkan bekalan air hingga ke hujung kampung seperti yang ditetapkan, namun jika lori tangki yang datang menyalurkan air kepada mereka yang tinggal di kawasan hadapan kampung, penduduk di kawasan belakang akan tercicir dari menerima bekalan air tersebut.

Ahmad Bashah berkata, SADA perlu memastikan pelan jangka pendek itu berjaya dilaksanakan dengan baik khususnya apabila anak-anak Kedah di perantuan pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing dan berlaku pertambahan penduduk secara drastik.

Katanya, pelan jangka panjang pun telah dirancang dan perlu dilaksanakan dengan sistematik untuk memastikan masalah bekalan air di Kedah dapat diselesaikan terutama membabitkan kawasan-kawasan kritikal.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika menyempurnakan Festival Daging Raya (FDR) 1437H di perkarangan Stadium Darul Aman yang turut dihadiri oleh Exco Pertanian, Datuk Suraya Yaacob, anjuran Kerajaan BN Negeri Kedah dan Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd. -Kedahnews.com