Isu Air Kedah: Fokus Kawasan Kritikal, Bilangan Lori Ditambah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memberikan fokus yang lebih kepada beberapa kawasan kritikal yang mengalami masalah bekalan air dengan menambah bilangan lori tangki bagi mengagihkan bekalan air kepada pengguna di kawasan terbabit.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din berkata, sistem agihan menggunakan lori tangki air itu akan diperkemaskan lagi supaya lebih efisien bagi melaksanakan rancangan jangka pendek menangani masalah air yang dihadapi pengguna.

"Maknanya, kalau lori kita sekarang ni ada 10, kita kena tambahkan lagi (lori) untuk kawasan kritikal.

"Sebagai contoh SADA akan hantar air dari jam 9 pagi higga 3 petang ke kawasan terputus bekalan, namun kadang-kala mereka tunggu jam 12 tengah hari baru lori sampai...jadi kita nak kurangkan masa menunggu ini, " katanya menjelaskan tindakan jangka pendek yang diputuskan.

Menurut Bakar, SADA kini mempunyai kira-kira 100 buah lori dengan enam jadual perjalanan bagi menghantar bekalan ke kawasan terjejas.

Tegas beliau lagi, jawatankuasa khas berkenan akan memastikan rakyat di kawasan kritikal itu mendapat bekalan air yang sempurna sebagaimana yang dinikmati di kawasan-kawasan lain di negeri berkenaan.

Pada masa sama, Bakar berkata, hanya 8,000 pemegang akaun SADA daripada keseluruhan 500,000 yang terputus langsung bekalan air iaitu di  Baling, Padang Terap, Sik, Pokok Sena, Merbok dan Kubang Pasu.

Beliau hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bertindak Khas Krisis Bekalan Air Kedah, di Wisma Darul Aman.

Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan agensi-agensi terlibat.

Jawatankuasa khas tersebut tertubuh atas inisiatif Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam sebuah mesyuarat khas pada 12 Julai lalu dalam bagi menyelesaikan rintihan rakyat yang sudah sekian lama menghadapi masalah bekalan air.

Masalah air di Kedah meruncing pada Aidilfitri lalu dan keluhan mula kedengaran ekoran masalah tersebut masih gagal diselesaikan biarpun sudah bertahun-tahun menghantui sebilangan rakyat di negeri berkenaan. -Kedahnews.com