Isu Vaksin: "Dr Google’" Antara Punca Timbul Kekecohan


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengenal pasti bahawa kemunculan terlalu banyak ‘Dr Google’ adalah antara punca tercetusnya kekecohan mengenai pengambilan vaksin di Malaysia baru-baru ini.

Timbalan menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata sesetengah orang terus membuat kesimpulan sendiri berdasarkan perkara yang mereka baca dalam Internet, tanpa mendapatkan pandangan pakar kesihatan terlebih dahulu.

“Mereka baca dalam Internet dan terus ikut apa yang tertulis di dalamnya. Penolakannya (pengambilan vaksin) kini menjadi-jadi, malah mereka berjaya meyakinkan ramai yang lain untuk mengikut langkah mereka.

“Banyak sebab diberi, termasuk kesan sampingan dan sebab dari segi agama juga. Sudah banyak kali saya katakan dan malah jawab di Parlimen bahawa vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan tidak mengandungi DNA porsin,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.


Dr Hilmi berkata vaksin berkenaan dibuat pelbagai ujian klinikal oleh pakar dan ia tidak akan digunakan di Malaysia sekiranya dibuktikan tidak selamat.

Menurut beliau, kementerian itu sedang berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyediakan khutbah Jumaat dan agensi lain yang berkenaan, termasuk Kementerian Kemajuan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bagi menangani isu itu.

Sehingga 29 Jun, kementerian itu merekodkan lima kematian daripada 13 kes difteria yang disahkan di seluruh negara.

Mengenai laporan media berhubung gesaan agar ketetapan dibuat bahawa hanya doktor wanita dibenarkan merawat pesakit wanita, Dr Hilmi berkata ia mungin terpakai bagi kes terpilih, tetapi tidak sesuai semasa berlaku kecemasan kerana negara ini perlu mengambil masa lama untuk melahirkan pakar Obstetrik dan Genekologi (O&G) wanita yang secukupnya.

“Setakat Disember 2015, terdapat 172 pakar O&G wanita dan 134 lelaki di seluruh negara dan pada tahun lepas sahaja, 15 daripada mereka meninggalkan perkhidmatan kerajaan untuk bekerja di tempat lebih menarik. Kami sudah menambah biasiswa peringkat sarjana kepada 1,000 setahun sejak tahun lepas.

“Ini bukan isu baharu dan ia ditimbulkan sekali sekali oleh pihak tertentu,” katanya. – BERNAMA