"Jalan Kampung Kami Lebih Teruk Dari Zaman Jepun"

Penduduk menunjukkan jalan yang terjejas juga kawasan penunggang motosikal jatuh sebelum ini.
BALING- “Jalan kampung kami lebih teruk dari zaman Jepun” demikian luahan seorang penduduk kampung Paya Besar.

Difahamkan, jalan Kampung Paya Besar menghubungkan laluan ke Kampung Lahar Parang, Kampung Kuala Samak dan beberapa destinasi utama itu berlubang dan rosak sepanjang dua kilometer.

Penduduk ,Ahmad Nawang, 68, berkata, jalan yang tidak dilengkapi sistem perparitan itu mulai rosak pada 2015 akibat hakisan air bukit ketika musim hujan.

Menurutnya, lama kelamaan, keadaan jalan itu semakin terjejas sehingga menjejaskan urusan seharian penduduk.

“Jalan kampung ini sangat teruk dan mengganggu urusan harian penduduk, ibu bapa nak hantar anak ke sekolah, pergi masjid, urusan pengebumian dan yang lain semuanya terganggu.

“Kereta dan van juga tidak boleh melalui jalan ini, jika ada urusan pengebumian jenazah terpaksa dibawa jalan lain sejauh hampir tujuh kilometer untuk ke tanah perkuburan,” katanya di sini, kelmarin.

Katanya lagi, sebahagian jalan berlubang itu terpaksa dibaik pulih menggunakan wang penduduk.

Mohd Faizul Mohd Nor,34, berkata, penduduk turut terdedah risiko keselamatan setiap kali melalui jalan itu.

“Sebelum ini ada penunggang motosikal yang terjatuh dalam lubang sehingga mengalami luka di lutut, pelajar sekolah rendah yang menunggang basikal juga turut terjatuh baru-baru ini.

“Tambahan jika ada penduduk yang menggunakan jalan ini pada waktu malam, tanpa lampu, jalan keadaan di sini amat gelap dan tidak selamat kepada pengguna,”katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Pejabat Parlimen kini sedang mengumpul maklumat jalan yang perlu di baik pulih.

“Rakyat  bersabar, jalan kampung di seluruh Parlimen Baling akan dibaik pulih bermula Ogos nanti,

“Semua wakil rakyat, penyelaras kawasan dan JKKK akan bertindak menyerahkan aduan kepada Pejabat Parlimen untuk diambil tindakan ,”katanya.

Sumber: Sinar Harian