Jangan Campur Tangan Urusan AS, PAN Sindir PAS?

Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) memberi peringatan kepada Malaysia supaya tidak campur tangan dalam urusan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Presidennya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, jika Malaysia tidak mahu AS mencampuri urusan negara ini, maka rakyat Malaysia juga tidak boleh mencampuri urusan negara berkenaan.

“Jangan pula kita campur tangan seperti juga kita tidak mahu mereka campur tangan hal ketenteraan dan kepolisan dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau dipercayai membuat kenyataan itu bagi menyindir kenyataan PAS semalam bahawa parti itu menolak sebarang usaha campur tangan asing termasuk AS dalam urusan negara ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dipetik berkata, meskipun PAS menolak campur tangan AS tetapi parti itu memandang serius tuduhan AS kononnya wujud penyelewengan melibatkan 1MDB.

“Jika ia melibatkan pengurusan pelaburan dan kewangan yang silap dan jangkaan pelaburan yang salah, maka penambahbaikan dan kebertanggungjawaban pihak yang berkenaan perlu diberikan perhatian.

“Selaras dengan prinsip Islam dan terma universal iaitu ‘innocent until proven guilty’ (tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah). PAS menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes ini,” kata Idris. –Kedahnews.com